Kedah, PDRM kongsi satu mata terikat 1-1 - Utusan Malaysia

Kedah, PDRM kongsi satu mata terikat 1-1

CLEYLTON Santos meraikan jaringannya ketika menentang PDRM FC dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, malam ini. - IHSAN KDA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Hasrat Kedah Darul Aman (KDA) FC untuk mengekalkan rentak kemenangan tidak kesampaian apabila diikat PDRM FC 1-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, malam tadi.

Stadium yang dihadiri kira-kira 2,500 penonton bergema seawal minit ke-15 apabila penyerang kebangsaan, Syafiq Ahmad berjaya membolosi pintu gol pelawat. Gol itu bagaimanapum dibatalkan setelah semakan video bantuan pengadil (VAR) mendapati dia berada dalam kedudukan ofsaid.  

Serangan bertali arus KDA FC akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-28 apabila tonggak pertahanan mereka, Cleylton Santos menyumbat gol pertama buat tuan rumah.

Gol itu terhasil apabila Santos menyambut bola percubaan rakan sepasukan, Milos Gordic yang ditampan penjaga gol PDRM FC, Bryan See. Pemain dari Brazil itu tidak menunggu lama untuk melepaskan rembatan ke gawang yang tidak dikawal, sekali gus mengubat kekecewaan penyokong Sang Kenari.

Pada minit ke-37, penyokong tuan rumah terkedu apabila penyerang PDRM FC, Ifedayo Olusegun membuat tandukan yang menerjah jaring KDA FC. Mereka bagaimanapun kembali bersorak apabila pengadil membatalkan gol tersebut setelah semakan VAR dilakukan.

Seminit sebelum tamat separuh masa pertama, Santos sekali lagi menguji Bryan menerusi rembatan kencang, hasil sepakan percuma dari luar kotak penalti. Penjaga gol The Cops itu nyata lebih bersedia untuk berada di kedudukan tepat, bagi memastikan bola berada kemas dalam dakapannya.

Memasuki babak kedua, KDA FC terlebih dulu memulakan ancaman menerusi tandukan dilakukan Milos pada minit ke-47. Percubaan itu bagaimanapun terkena kepada pemain pasukan pelawat untuk sedikit terbias keluar. 

Melihat ancaman itu, PDRM mula menggandakan asakan untuk mencari gol penyamaan. Tandukan kapten mereka dari Nigeria, Faith Friday Obilor pada minit ke-49 bagaimanapun dapat diselamatkan penjaga gol tuan rumah, Ifwat Akmal Chek Kassim. 

Usaha berterusan PDRM membuahkan hasil pada minit ke-56 apabila pemain tengah dari Nigeria, Aremu Timothy mudah menolak masuk bola ke gawang tuan rumah sebaik menerima hantaran lintang Safiee Ahmad dari sebelah kanan padang.

Melihat kepada penguasaan PDRM FC yang kian kukuh, Ketua Jurulatih KDA FC, Nafuzi Zain membuat empat pertukaran serentak pada minit ke-77 dengan mengeluarkan Wan Amirul Afiq, Amirul Hisyam Awang Kechik, Syafiq Ahmad serta Sukhrob Nurulloev untuk digantikan dengan Rizal Ghazali, Faiz Nasir, Ebenezer Assifuah serta Fayadh Zulkifli.

Langkah itu bagaimanapun tidak banyak mengubah keadaan dengan kedua-dua pasukan tampak buntu untuk melakukan serangan merbahaya. Perlawanan akhirnya berakhir dengan keputusan seri 1-1 untuk kedua-dua pasukan berkongsi mata. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN