Kedah ‘ketepikan’ isu gaji, tewaskan Terengganu 1-0 - Utusan Malaysia

Kedah ‘ketepikan’ isu gaji, tewaskan Terengganu 1-0

SYAFIQ Ahmad mengawal bola daripada dirampas pemain TFC dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar. - IHSAN KDA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Tunggakan gaji mencecah tujuh bulan tidak menghalang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) mencatat kemenangan 1-0 ke atas Terengganu FC (TFC) apabila kedua-dua pasukan bertemu di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.

Meskipun berlangsung rancak, percubaan merbahaya pertama dalam perlawanan itu hanya hadir pada minit ke-25 menerusi penyerang import TFC, Ismaheel Akinade.

Ismaheel yang menerima hantaran Azam Azmi Murad melepaskan rembatan leret, bola itu bagaimanapun sekadar singgah di tiang kiri pintu gol meskipun berjaya melepasi jangkauan penjaga gawang KDA FC, Ifwat Akmal Chek Kassim.

Di sebalik serangan bertubi-tubi dilancarkan Sang Penyu, Stadium Darul Aman yang dihadiri lebih 3,200 penyokong bergema pada minit ke-36 apabila rembatan dilakukan kapten KDA FC, Sony Norde menerjah jaring menewaskan penjaga gol Terengganu, Suhaimi Husin.

Semakan video bantuan pengadil (VAR) bagaimanapun mendapati penyerang kebangsaan, Syafiq Ahmad terlebih dulu dalam situasi ofsaid ketika melakukan percubaan sebelum Sony menerima bola, menyebabkan gol tersebut dibatalkan.

Memasuki masa tambahan separuh masa pertama, giliran pelawat pula kecewa apabila penalti yang dianugerahkan kepada mereka dibatalkan setelah semakan VAR mendapati pertahanan KDA FC, Amirul Hisyam Awang Kechik tidak melakukan sebarang kekasaran terhadap Akhyar Rashid.

Kekecewaan ditanggung mereka bertambah seminit kemudian apabila pertahanan import KDA FC dari Brazil, Cleylton Santos menjaringkan gol pertama perlawanan menerusi tandukan, setelah dia menerima bola hasil sepakan percuma dilakukan Sony.

Bersambung ke babak kedua, Syafiq memiliki ruang untuk menggandakan jaringan buat Sang Kenari pada minit ke-46, namun rembatannya tersasar ke kiri gawang meskipun dia hanya berdepan satu sama satu dengan Suhaimi.

Percubaan demi percubaan yang dilakukan TFC bagaimanapun gagal membuahkan hasil termasuk tandukan Ismaheel yang singgah di tiang buat kali kedua pada minit ke-57.

Minit ke-86, Ebenezer Assifuah yang menggantikan Syafiq hampir menggandakan jaringan buat tuan rumah namun rembatannya dari dalam kotak penalti berjaya ditepis keluar Suhaimi.

TFC terus melakukan serangan balas dua minit kemudian namun rembatan penyerang import mereka dari Nigeria, NNabuike Chijioke Chukwu sedikit tersasar ke kanan gawang sebelum keputusan kekal 1-0 memihak Sang Kenari. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya