Kecurian elektrik di kawasan setinggan, Sabah rugi RM60 juta setahun

Kecurian elektrik di kawasan setinggan, Sabah rugi RM60 juta setahun

WILFRED Madius Tangau (empat kiri) semasa melawat salah satu gerai pameran pada Program Hari Vendor SESB di SICC, Kota Kinabalu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) mengalami kerugian mencecah RM60 juta setahun akibat kecurian elektrik atau penyambungan haram di kawasan penempatan setinggan.

Susulan itu, SESB akan terus memperluaskan penggunaan meter prabayar di kawasan setinggan bagi membolehkan kerajaan memperoleh pendapatan bagi setiap penggunaan elektrik di penempatan tersebut.

Pengerusi SESB, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, masalah penyambungan elektrik haram antara cabaran terbesar dalam industri tenaga dan sekali gus menjejaskan kewangan SESB.

Maka, SESB dalam perancangan untuk memperluas penggunaan meter prabayar di bawah projek pengedar tenaga bebas (IPD) ke kawasan setinggan di sekitar ibu negeri ini pada awal tahun depan.

Beliau berkata, keputusan untuk memperluas penggunaan meter prabayar itu dibuat selepas melihat kejayaan pelaksanaannya di Kampung Forest, Sandakan sejak Oktober tahun lalu yang melibatkan 974 pengguna.

Katanya, pelaksanaan projek perintis di Kampung Forest, Sandakan berjaya menjimatkan perbelanjaan kerajaan sehingga RM1 juta akibat kecurian elektrik yang dilakukan melalui penyambungan haram.

“Kita kehilangan (hasil) RM1 juta kerana mereka mencuri elektrik. Tidak mungkin untuk kita potong penyambungan haram yang dilakukan kerana apabila kita berjalan di sana, pancingan elektrik dilakukan di sepanjang jalan.

“Namun, setelah kita mulakan projek IPD ini, kita berjaya jimatkan RM1 juta setahun,” katanya semasa ditemui pada Program Hari Vendor SESB 2024, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.

Untuk Kota Kinabalu, antara kawasan yang disasarkan adalah Kampung Numbak, Kampung Delima dan Kampung Suang Parai di Sepanggar. Kini, ia berada pada peringkat akhir untuk dimuktamadkan oleh Suruhanjaya Tenaga Sabah.

Menurutnya, jika dilihat terdapat lebih 300 kawasan setinggan di seluruh Sabah dan SESB menyasarkan untuk melaksana enam projek IPD dalam tempoh setahun.

Madius berkata, dengan penggunaan meter prabayar sebegitu, penduduk di kawasan setinggan yang selama ini melakukan penyambungan haram akan mula membayar bil elektrik mengikut kadar penggunaan mereka.

Menerusi pelaksanaan projek IPD itu, vendor akan membeli secara pukal kepada SESB jadi, bergantung kepada mereka untuk menetapkan jumlah pengguna di setiap kawasan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya