Kebun anggur pelajar tahfiz Maahad Qiraat An Nur

Kebun anggur pelajar tahfiz Maahad Qiraat An Nur

PELAJAR tahfiz Maahad Qiraat An Nur Bukit Puas , Jerantut Pahang melihat rakan memetik buah anggur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUSAT Tahfiz Maahad Qiraat An Nur Kampung Bukit Puas, Jerantut, Pahang mempunyai cara tersendiri untuk mengembangkan potensi pelajar bukan sahaja membentuk insaniah menerusi hafazan al-Quran malahan bidang lain seperti keusahawanan berasaskan pertanian termasuk ternakan.

Lebih menarik, maahad tersebut yang diasaskan tujuh tahun lalu memulakan tanaman anggur di kawasan berbumbung seluas 14 x 21 meter yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan untuk para pelajar di situ menguruskan tanaman berkenaan serta pada masa yang sama melengkapkan pengetahuan dan kemahiran teknik penanaman tumbuhan itu.

Pengasas Maahad Qiraat An Nur, Datuk Ahmad Nazlan Idris, 66, berkata, projek tanaman anggur dikenali sebagai Laman Anggur Bukit Puas di bawah kendalian seorang ahli jawatan kuasa pusat tahfiz tersebut, Haji Roselan Ab. Malek antara agenda untuk mendidik seramai 32 orang pelajar di situ mendalami aspek keusahawanan berasaskan pertanian.

“Maahad ini bukan sahaja melatih pelajar menghafaz 30 juzuk al-Quran malahan diberi peluang menjalani kemahiran dalam bidang pertanian seperti tanaman anggur, padi, ternakan lembu dan kambing, kibas, biri-biri, rusa dan ikan kolam pada sebelah petang

“Hasrat kita bukan sahaja untuk melahirkan penghafaz 30 juzuk al-Quran, malahan terus menitikberatkan kerjaya masing-masing pada masa akan datang dalam sektor pertanian,” katanya kepada Utusan Pelajar di Kampung Bukit Puas, Jerantut baru-baru ini.

Ahmad Nazlan yang juga bekas Ahli Parlimen Jerantut selanjutnya berkata, tanaman anggur antara usaha membentuk keusahawanan pertanian dalam kalangan pelajar supaya mampu menjana pendapatan selain tugas utama mencurahkan ilmu al-Quran di tempat masing-masing.

Beliau berkata, pelajar yang terbabit menjaga tanaman anggur itu terdiri daripada mereka yang sudah menghafaz lebih 20 juzuk al-Quran dan akan turun membantu pada sebelah petang setiap hari dan hujung minggu secara bergilir-gilir.

“Pelajar ini akan dilatih oleh Roselan mengenai cara menanam, membaja, mengairi dan teknik memetik apabila buah anggur mulai matang dan boleh dipasarkan,” katanya.

Sementara itu, Mudir Maahad Qiraat An Nur, Abdul Rafiq Fateh Mohamad, 64, berkata, Laman Anggur Bukit Puas antara sebahagian projek Agro Farm yang membabitkan ternakan bertujuan menitip kesedaran serta pemahaman pelajar di situ mengenai usaha bidang pertanian sebagai satu perniagaan.

“Pada peringkat awal ini kita masih belum mencongak aspek pasaran hanya semata-mata untuk memberikan kemahiran kepada pelajar mengenai teknik pengurusan tanaman ini dan kemungkinan tempoh jangka panjang dapat membantu kewangan maahad ini apabila boleh dipasarkan nanti.

“Mulai 31 Ogos lalu sempena Hari Kebangsaan, kita membuka kepada orang ramai di sekitar daerah ini datang melihat bagaimana para pelajar di sini menjaga tanaman di samping melihat sendiri buah anggur yang mula keluar di tangkai dan boleh dipetik tidak lama lagi,” katanya.

Bekas pengetua sebuah sekolah menengah di Jerantut itu berkata, kawasan tanaman anggur itu boleh dikunjungi pada setiap Hari Sabu dan Ahad mulai pukul 10 pagi hingga 5 petang dikenakan sedikit bayaran masuk dan pengunjung berpeluang melihat buah anggur yang lebat di tangkai secara lebih dekat di samping menikmati jualan di laman anggur ini.

Abdul Rafiq menambah, lebih 200 batang pokok anggur telah ditanam terdiri daripada jenis Dixon, Jupiter, New Baikonur, Akademik, Julian dan Faith yang menambat hati pengunjung dengan pelbagai variati warna di samping kehijauan pokok yang memberikan ketenangan dan terapi kesihatan.

Guru Tahfiz al-Quran, Mohd Nasirudin Md Saad, 33, berkata, tamanan anggur memberikan pemahaman kepada pelajar dan pengunjung mengenai kebesaran Allah yang menjadikan tumbuhan di muka bumi sebagai makanan di samping anggur antara buah-buahan Syurga.

“Buah anggur disebut dalam al-Quran sebanyak 14 kali. Salah satunya, iaitu dalam surah An-Nahl, ayat 11 yang bermaksud,’Dia menumbuhkan bagi kamu dengan air hujan itu tanam-tanaman; zaitun, kurma, anggur dan segala macam buah-buahan. Sesungguhnya, pada yang demikian itu benar-benar ada tanda (kekuasaan Allah) bagi mereka yang memikirkannya.” katanya.

Sehubungan itu, jelas Mohd Nasirudin, Allah menciptakan pelbagai jenis buahan segar untuk manusia bukan hanya disebabkan rasanya yang lazat, tetapi manfaatnya daripada segi perubatan yang telah diketahui sejak dahulu lagi.

Katanya, ladang anggur tersebut mampu menarik pengunjung ke maahad tersebut di samping perolehan pendapatan hasil jualan boleh menampung belanja pihak pengurusan serta lawatan ke situ dapat memberikan kesedaran serta minat ibu bapa menghantar anak masing-masing mengikuti pengajian al-Quran.

Pelajar tahfiz dari Ulu Langat, Selangor, Amirul Aiman Kamaruzaman, 20, berkata, dia tertarik kerana terbabit dengan penjagaan tanaman anggur di samping mengubah mentalitinya serta rakan bahawa anggur boleh tumbuh di negara beriklim panas seperti Malaysia.

“Hal ini menunjukkan kekuasaan Allah SWT yang memberikan kesedaran supaya kita berusaha dalam apa juga pekerjaan dan bersungguh sehingga beroleh kejayaan seperti tanaman anggur ini,” katanya.

Katanya, projek tersebut mampu menanam minat pelajar di situ dalam bidang pertanian komersial selepas menguasai 30 juzuk al-Quran nanti boleh berdikari untuk menambah pendapatan keluarga. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN