Kebebasan bersuara ahli akademik tetap dipertahan - Zambry

Kebebasan bersuara ahli akademik tetap dipertahan – Zambry

ZAMBRY Abdul Kadir beramah mesra selepas merasmikan Konvensyen Akademia 2024 di KPT Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kebebasan menyuarakan pandangan semua ahli akademik di universiti awam di negara ini akan tetap dipertahankan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata,beliau tidak mahu ada sebarang langkah dibuat untuk cuba mengekang hak dan kebebasan ahli akademik di dalam sesebuah universiti.

“Saya faham apa yang disuarakan oleh beberapa pihak iaitu keprihatinan mereka akibat surat pekeliling dalaman yang dikeluarkan oleh pihak UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia) yang memberi peringatan kepada kakitangannya.

“Tapi seperti saya sebutkan tadi bahawa setiap pekeliling yang nak dikeluarkan sama ada daripada pihak KPPA (Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam) dan sebagainya perlu lah melihat ke dalam konteks universiti berkenaan.

“Sebab (setiap) universiti merupakan tempat yang agak berbeza dari segi budaya dan ekosistemnya kerana kita tidak mahu setiap arahan yang dikeluarkan itu ditafsirkan sebagai mengekang hak dan juga kebebasan ahli akademik dalam sebuah universiti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Akademia 2024 anjuran Akademi Profesor Malaysia di sini hari ini.

Zambry berkata demikian ketika mengulas mengenai isu surat pekeliling dikeluarkan UKM kepada seluruh warga akademik dan kakitangan berhubung arahan supaya pegawai awam tidak boleh mengeluarkan kenyataan awam termasuk di media sosial.

Namun, menerusi satu kenyataan pada 18 Oktober lalu, UKM menafikan pihaknya menghalang kebebasan mana-mana kakitangannya untuk mengeluarkan sebarang kenyataan sama ada secara lisan atau bertulis termasuk di media sosial.

Dalam pada itu, Zambry turut mengingatkan kepada para ahli akademik supaya menyampaikan pandangan-pandangan mereka berasaskan kepada bidang dan disiplin ilmu masing-masing dengan menyertakan fakta, penyelidikan dan berasaskan bukti.

“Maksudnya, seorang ahli akademik tidak akan bercakap secara semberono tetapi pastikan setiap apa yang diucap atau dizahirkan itu berdasarkan bidang, data dan bukti, walaupun kita tahu bahawa hasil daripada kajian mereka itu tidak baik untuk setiap pihak-pihak tertentu atau pun agak kritikal dengan pihak-pihak tertentu.

“(Tetapi) bagi saya itu jangan dijadikan sebagai satu alasan untuk mengekang kebebasan ahli-ahli akademik selagi ahli akademik kita (bercakap) berdasarkan disiplin ilmu mereka.

“Maka saya fikir tidak wajar kepada mana-mana pihak untuk cuba mengekang kebebasan ahli akademik di universiti-universiti,” katanya.

Ketika ditanya sama ada terdapat keperluan untuk meminda Akta 605 Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2020, Zambry berkata, beliau perlu melihat dan meneliti dahulu mengenai perkara tersebut.

“Ini bukan semata-mata berkaitan sangat dengan (isu UKM) tetapi walau bagaimanapun saya ingin juga dalam konteks Akta 605 ini apakah ada pengecualian-pengecualian yang boleh diberikan dan saya akan lihat secara teliti kerana kita difahamkan ada beberapa perkara dikecualikan kepada institusi tertentu.

“Jadi kalau itu asasnya, maka adalah wajar juga untuk kita melihat semula ke dalam perkara-perkara itu supaya pengecualian-pengecualian dapat diberikan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya