Kebajikan rakyat Terengganu jadi keutamaan - Utusan Malaysia

Kebajikan rakyat Terengganu jadi keutamaan

AIMAN Athirah Sabu (dua dari kanan) menyampaikan replika kunci rumah kepada penghuni PRR Bukti Nenas di Kuala Nerus, hari ini. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Pembinaan 500 unit rumah pangsa di bawah Program Residensi Rakyat (PRR) yang dilaksanakan di Bukit Nenas di sini adalah bukti komitmen tinggi Kerajaan Persekutuan untuk menyediakan perumahan selesa di seluruh negara tanpa wujudnya elemen diskriminasi.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, walaupun Terengganu bukanlah negeri yang seiring kepimpinan dengan kerajaan Persekutuan, kebajikan rakyat negeri itu sentiasa menjadi keutamaan pucuk pimpinan negara.

Menurutnya, di Terengganu ketika ini terdapat dua projek PRR yang sudah siap, satu sedang dalam pembinaan dan satu lagi sedang dalam proses perancangan untuk dilaksanakan.

“Kerajaan pimpinan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sentiasa terbuka untuk bekerjasama dgn semua pihak termasuk negeri-negeri untuk program kebajikan rakyat.

“Kalau kerajaan negeri dapat sediakan tanah yang strategik untuk kita dirikan PRR ini, kita akan usaha sungguh-sungguh untuk dapatkan dana bagi realisasikan pembinaannya.

“Namun, ini memerlukan kerjasama dan komitmen tinggi kerajaan negeri dan bagi pihak kementerian, kita tak pernah berbelah bahagi, tiada hasrat untuk jadikan negeri yang tidak seiring dengan pusat sebagai anak tiri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Program Residensi Rakyat (PRR) Bukit Nenas kepada 30 orang penerima, di sini, hari ini.

Ketika ini, terdapat dua projek PRR di Terengganu iaitu di Padang Hiliran dan Bukit Nenas manakala satu projek sedang dalam pembinaan iaitu di Besut dan satu lagi dalam perancangan iaitu di Jeram, Manir.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sejak PRR diperkenalkan pada tahun 1998, sebanyak 166 projek yang melibatkan 104,081 unit rumah telah siap dibina di seluruh negara.

“Selain itu, sebanyak 16 projek melibatkan 5,823 unit rumah pula sedang dalam pembinaan dan sebanyak 22 projek melibatkan 7,267 unit sedang dalam perancangan.

“Secara keseluruhan, 204 projek PRR ini akan memberi manfaat yang besar kepada 117,171 buah keluarga yang terdiri daripada golongan B40,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya