KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri menerima peruntukan RM19.5 bilion, menokok sebanyak RM500 juta.
Selain itu, Kementerian Pertahanan menerima peruntukan RM21.2 bilion, bertambah RM1.4 bilion.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, lebih RM2.12 bilion peruntukan aset khusus untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi beruniform di bawah Kementerian Dalam Negeri bagi menjamin keselamatan dalam negeri melalui usaha bersepadu membendung peningkatan kes jenayah selain mengekang anasir permusuhan yang memecahbelahkan rakyat.
Kerajaan akan terus memastikan kesiagaan penuh Angkatan Tentera Malaysia dengan RM5.8 bilion dikhususkan untuk kerja-kerja senggara dan pembaikan serta perolehan aset-aset ketenteraan baharu.
Bagi memanfaatkan kontrak senggara, program baharu PROTEGE iaitu veteran akan diperkenalkan khusus untuk mewajibkan kontraktor menyediakan peluang pekerjaan untuk veteran ATM, terutama yang punyai kelayakan TVET.
Selain itu, tumpuan khusus diberikan untuk membangunkan industri ketenteraan tempatan melalui pemindahan teknologi daripada pembekal aset ketenteraan dan menggalakkan pemain industri tempatan menembusi pasaran eksport.
Sebagai contoh, syarikat tempatan Aerodyne yang muncul sebagai penyedia perkhidmatan dron utama dunia wajar disokong untuk mengeksport aplikasi keselamatan kawalan sempadan. – UTUSAN