KDN berdepan kekangan asas sebelum fokus aplikasi teknologi baharu - Utusan Malaysia

KDN berdepan kekangan asas sebelum fokus aplikasi teknologi baharu

SAIFUDDIN Nasution Ismail sewaktu berucap pada Program Syarahan Sulung Bersama Menteri Dalam Negeri di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban 3 di Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Masih terdapat kekangan di peringkat asas yang perlu diberikan keutamaan oleh pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum peruntukan yang diterima dapat digunakan khusus untuk memenuhi tuntutan semasa berkaitan keamanan dan keselamatan negara iaitu dalam bidang pengetahuan baharu dan teknologi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dengan perubahan zaman dan dinamik teknologi, pihaknya berpendapat bahawa negara juga tidak punya selain turut sama melabur dari sudut sains dan teknologi dan membangunkan sumber manusia yang mempunyai pengetahuan mendalam mengenainya.

Jelas beliau, dengan tugas hakiki menjaga keamanan dan ketenteraman awam, KDN juga perlu ke arah itu mengikuti langkah negara-negara lain yang telah memberikan keutamaan dalam pemakaian aplikasi teknologi berkaitan aspek tersebut.

“Bayangkan dalam mengawal sempadan darat dan laut yang hampir 4,000 kilometer, kita tidak boleh berakhir dengan menambah sumber manusia atau menambah banyak lagi pusat kawalan. 

“Sebaliknya menerusi teknologi dan inovasi sekarang, misalnya dron, data sempadan negara dapat dikumpul dengan mudah, begitu juga laut dan samudera yang luas, itu keadaan yang ideal itu yang patut kami impikan.

“Idealnya setiap sen itu adalah ke arah pelaburan iaitu sudut sumber manusia yang mahir mengendalikan dan mengikuti pengetahuan tentang inovasi contohnya AI namun itu tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya kerana kita ada kekangan yang paling asas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Syarahan Sulung Bersama Menteri Dalam Negeri di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban 3 di sini hari ini.

Saifuddin Nasution menjelaskan, kekangan asas itu seperti terdapat 850 buah balai polis yang sebahagiannya masih uzur dan keadaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) yang dibina pada tahun 1970-an dan 80-an yang perlu dinaik taraf bersama pos-pos kawalan sempadan.

“Itu belum lagi soal aset yg menjaga laut darat dan udara, helikopter, kapal dan sebagainya. Kerana itu kami terpaksa mengagihkan perbelanjaan yang diluluskan untuk tujuan menambah baik dan menaik taraf aset-aset ini.

“Sekiranya perkara ini telah diselesaikan, sudah tentulah pelaburan boleh dijuruskan kepada tuntutan semasa iaitu menguasai bidang-bidang pengetahuan baharu yang sangat penting untuk diguna pakai dalam mengawal keamanan dan ketenteraman negara terutama mengenai keselamatan sempadan negara,” jelas beliau lagi.

Menerusi Belanjawan 2025 yang dibentangkan pada Jumaat lalu, KDN diperuntukkan sebanyak RM19.5 bilion dan daripada jumlah berkenaan, sejumlah RM15.5 bilion adalah untuk perbelanjaan mengurus manakala RM4 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya