Kaut untung jaja cerita pelajar miskin masuk universiti

Kaut untung jaja cerita pelajar miskin masuk universiti

Dr. Zambry Abd. Kadir melihat buku The New Crusades Islamophobia and The Global War On Muslims karya Prof. Dr. Khaled A. Beydoun (kiri) dalam Majlis Perhimpunan Bulanan Bagi Bulan September Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di Dewan Zaaba, Putrajaya, semalam. – UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengesan beberapa kes penipuan pihak tertentu ‘menjaja’ kisah pelajar miskin untuk menyambung pengajian ke universiti.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir justeru mengarahkan pengurusan institusi pengajian tinggi untuk memantau dan segera membuat laporan polis jika ditemui kes seum­pama itu.

“Pihak itu cuba mengeksploitasi cerita anak keluarga miskin dapat tawaran ke universiti dengan buka akaun bank palsu dan dapat duit secara mudah,” katanya kepada pemberita ketika berucap dalam Perhimpunan Bulanan KPT di sini semalam.

Kisah pelajar cemerlang yang gagal melanjutkan pengajian kerana isu kemiskinan keluarga seringkali mendapat tumpuan media setiap kali sesi baharu pendaftaran universiti.

Walau bagaimanapun, Zambry baru-baru ini mengarahkan pentadbiran semua universiti menangguhkan yuran kemasukan jika pelajar terbabit memang tidak berkemampuan.

Mengulas lanjut, beliau menambah, ada dalam kalangan penuntut miskin itu yang langsung dikecualikan sebarang pembayaran menerusi pelbagai skim khas untuk mereka.

“Saya dimaklumkan sehingga semalam terdapat 2,500 pelajar berkenaan yang tidak perlu bayar pendaftaran melalui inisiatif Program Sulung di kesemua universiti awam,” katanya.

Justeru, beliau meminta penuntut keluarga berpendapatan rendah atau B40 untuk tidak malu tampil melaporkan masalah mereka dan bukannya langsung tidak mendaftarkan diri.

Zambry malah memberi jaminan bahawa KPT sentiasa ke hadapan dalam membela nasib golongan miskin tanpa mengira latar belakang kaum agar belajar di pusat pengajian tinggi.

Profil keluarga pelajar terbabit ujarnya, juga dimasukkan dalam sistem maklumat universiti berkenaan bagi menerima dana termasuk bantuan segera pendaftaran kira-kira RM1,000.

Perkara tersebut jelas beliau, turut dibantu oleh pihak Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional yang kemudian akan bertindak pula menyalurkan pinjaman kepada mereka.

“KPT tidak mahu berlaku isu diskriminasi kepada anak miskin yang cemerlang bahkan saya mahu mereka juga dapat sambung belajar dan akhirnya bantu balik keluarga,” tegasnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN