Kastam rampas besi sekerap, e-waste bernilai RM19.4 juta

Kastam rampas besi sekerap, e-waste bernilai RM19.4 juta

Besi sekerap
ANIS Rizana Mohd. Zainudin melihat anggota JKDM membuka kontena berisi besi sekerap dan e-waste yang diseludup masuk ke negara ini, dekat Wisma Kastam Pulau Indah, Pelabuhan Klang, di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Lebih 3,000 tan metrik besi sekerap dan sisa elektronik (e-waste) bernilai RM19.349 juta dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam beberapa pemeriksaan di Pelabuhan Barat, di sini dari 17 Ogos hingga 4 Oktober lalu.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd. Zainudin berkata, kesemua barangan itu dirampas menerusi pemeriksaan di Pelabuhan Barat 151 kontena yang disita antara 5 September hingga 4 Oktober lalu.

“Bagi rampasan besi sekerap, hasil pemeriksaan ke atas 44 kontena bersama SIRIM mendapati ia mengandungi 1,098.91 tan barangan tersebut yang dipercayai tidak mempunyai permit import. Kesemua metal scrap itu dianggarkan bernilai RM13.2 juta.

“Siasatan awal kes mendapati kesemua kontena yang membawa bahan itu tiba di Pelabuhan Klang pada 13 Ogos lalu dan dipercayai datang dari sebuah negara di benua Amerika,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Jelasnya, penyeludupan besi sekerap itu dipercayai untuk dileburkan dan dijadikan sebagai bongkah besi bagi kegunaan pihak tertentu.

Manakala bagi rampasan e-waste pula, sebanyak 2,119 tan dikesan dalam 107 kontena yang dirampas dari pelabuhan sama menerusi Operasi (Op) E-Waste 2024 yang dijalankan bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada 17 Ogos hingga 4 Oktober lalu.

“Kesemua kontena itu diperiksa anggota JKDM bersama pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS). Kesemua e-Waste dianggarkan bernilai RM5.59 juta dengan ketirisan hasil sebanyak RM558,579.18,” ujarnya.

Dalam pada itu, Anis Razana mendedahkan penyeludupan kedua-dua barangan itu menggunakan modus operandi sama iaitu pengimport membuat pengikraran barangan secara tidak benar di dalam dokumen manifes import.

Kedua-duanya diikrar sebagai aluminium aloi, cebisan aluminium dan tembaga bagi mengelak daripada keperluan mendapatkan permit import dan kelulusan daripada Ketua Pengarah Alam sekitar bagi tujuan pengimportannya.

“Justeru, kedua-dua kes itu disiasat di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967 iaitu mengimport apa-apa barang larangan berlawanan dengan sesuatu larangan.

“Jika sabit kesalahan, mahkamah boleh mengenakan hukuman 10 hingga 20 kali ganda nilai barangan atau RM100,000 hingga RM500,000 mengikut mana lebih tinggi atau penjara enam bulan hingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.

Oleh demikian, beliau menyeru orang ramai membantu JKDM dalam memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain.

“Orang ramai juga dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti penyeludupan kerana ia bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan rakyat.

“JKDM juga menyeru orang awam memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau menghubungi Pejabat JKDM berdekatan. JKDM memberi jaminan identiti pemberi maklumat dirahsiakan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya