PETALING JAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menafikan dakwaan tular mengenai sebuah kontena yang dikatakan membawa muatan dagangan rokok telah dilepaskan atas arahan Ketua Pengarah yang melibatkan kerabat diraja.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd. Zainudin berkata, dakwaan tular itu adalah tohmahan yang telah dikeluarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Kata beliau, satu laporan polis juga telah dibuat bagi menjaga nama baik dan imej JKDM serta memelihara kedaulatan institusi diraja.
“Berdasarkan rekod JKDM, dagangan yang dibawa telah melalui proses kerja dan prosedur yang ditetapkan.
“Kontena tersebut berukuran 40 kaki berstatus full container load (FCL) dan Borang Kastam 1(BK 1), pengimport telah mengikrarkan dagangan sebagai 1,071 unit bagasi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, rekod imej mesin pengimbas dan pemeriksaan fizikal yang dilakukan terhadap kontena tersebut telah mengesahkan bahawa maklumat barang dagangan di dalam manifest dan Borang K1 adalah sama seperti yang diikrarkan iaitu beg bagasi.
Justeru, beliau berkata, JKDM berpuas hati bahawa pengikraran yang dilakukan adalah mematuhi kehendak Seksyen 79 Akta Kastam 1967.
“Pengimport juga telah membayar Cukai Jualan Import dan dagangan dilepaskan dari kawalan Kastam.
“JKDM juga menafikan bahawa pegawai-pegawai telah menerima arahan dari Ketua Pengarah untuk tidak mengenakan duti atau cukai dan melepaskan dagangan yang diimport tanpa dikenakan cukai,”jelasnya.
Anis Rizana berkata, sebagai Ketua Pengarah beliau juga tidak mempunyai sebarang kuasa untuk mengecualikan dan melepaskan mana-mana orang dari membayar keseluruhan atau sebahagian dari duti atau cukai yang terlibat.
“JKDM ingin menegaskan bahawa kuasa untuk mengecualikan dan melepaskan mana-mana orang dari membayar duti atau cukai di bawah mana-mana akta tadbiran JKDM adalah kuasa Menteri Kewangan,” ujarnya.
Tambah beliau, pegawai JKDM komited dan jelas mengenai kuasa yang ada di bawah undang- undang bertulis tadbiran JKDM dan sentiasa mengamalkan sikap Cekap, Tangkas Berintegriti dalam menjalankan tugas.
“Justeru, setiap pengikraran yang dibuat oleh pengimport hendaklah mematuhi kehendak Seksyen 79 Akta Kastam 1967.
“JKDM menyeru orang ramai agar lebih berhati-hati dan prihatin dengan membuat semakan dan pengesahan terlebih dahulu daripada sumber rasmi mengenai apa-apa maklumat yang diterima,” katanya. – UTUSAN