Kastam bongkar sindiket seludup, proses dan bekal arak tiruan di Pulau Pinang

Kastam bongkar sindiket seludup, proses dan bekal arak tiruan di Pulau Pinang

ROSELAN Ramli (tengah) ketika sidang akhbar berhubung kejayaan menumpaskan sindiket menyeludup, memproses serta membekal minuman keras di Stor Penyimpanan Bagan Jermal, Butterworth, Pulau Pinang.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Taktik satu sindiket yang menjadikan premis kediaman di kawasan terpencil untuk mengilang dan menyimpan minuman keras tiruan serta barang berduti di Kampung Valdor, Sungai Jawi terbongkar apabila premis tersebut diserbu oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang, baru-baru ini.

Pengarah JKDM negeri, Datuk Roselan Ramli berkata, premis kediaman tidak bernombor itu diserbu oleh sepasukan anggota kastam dari Unit Operasi, Bahagian Penguatkuasaan Pulau Pinang kira-kira pukul 11.20 pagi pada 20 September lalu.

Katanya, hasil pemeriksaan menjumpai sejumlah 6,621 botol minuman keras jenis ‘liquor’ yang bersamaan dengan 2,104.41 liter selain sejumlah botol kosong, penutup botol, pelekat pelbagai jenama minuman keras, seunit mesin ‘Glass Bottle Capping’ serta segulung setem duti kastam palsu.

Beliau berkata, pasukan serbuan juga telah menjumpai sebuah tong air yang telah diubah suai bagi aktiviti mengilang minuman keras tiruan ini dan kesemua minuman keras tak berkastam ini dianggarkan bernilai RM73,654.35 melibatkan duti dan cukai berjumlah RM334,133.37.

“Siasatan awal mendapati, premis serbuan tidak dilesenkan di bawah seksyen 20 (1) Akta Eksais 1976 sebagai tempat suling, bruari, atau lain-lain tempat pengilangan barang-barang berduti atau ‘liquor’ yang memabukkan.
Kes bagaimanapun masih dalam siasatan,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Mengulas lanjut, Roselan berkata, siasatan lanjut mendapati, kegiatan mengilang serta memproses arak tiruan itu telah bermula sejak tiga bulan lalu dengan didalangi oleh sindiket warga Nepal dan pihaknya mengesyaki bahawa arak tersebut telah berada di pasaran ketika ini termasuk dijual di kedai-kedai runcit tertentu.

ROSELAN Ramli (duduk) menunjukkan sebahagian daripada minuman keras yang dirampas ketika sidang akhbar berhubung kejayaan menumpaskan sindiket menyeludup, memproses serta membekal minuman keras di Stor Penyimpanan Bagan Jermal, Butterworth, Pulau Pinang.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN

Jelas Roselan, kes disiasat mengikut Seksyen 74(1)(f) Akta Eksais 1976 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda amaun duti eksais atau RM50,000.00 yang mana lebih besar dan tidak lebih dari 20 kali amaun duti eksais atau RM500,000.00 yang mana lebih besar atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Pada masa yang sama katanya, kes juga disiasat di bawah Seksyen 6 Law Reform (Eradication Of Illicit Samsu) Act 165 yang mana pemilik atau penyewa premis yang menggunakan premisnya sebagi tempat pengilangan samsu gelap boleh dipenjara antara empat hingga 10 tahun selain dikenakan tidak kurang daripada dua sebatan.

Sementara itu, Roselan berkata, sebanyak 12,432 tin dan 480 botol bersamaan dengan 6,022.08 liter minuman keras jenis bir yang tak berkastam serta sebuah lori yang digunakan sebagai pengangkut minuman keras itu disita dalam serbuan berasingan di sebuah premis di Simpang Ampat pada 2 Oktober lalu.

“Kesemua barang kes ini dianggarkan bernilai RM61,665.60 dengan melibatkan duti dan cukai berjumlah RM123,931.02,” katanya yang memaklumkan, modus operandi sindiket ialah menggunakan premis di kawasan terpencil sebagai stor minuman keras bir tak berkastam manakala pengedaran ke pasaran tempatan pula disyaki secara pecah pukal menggunakan lori.

Ujar Roselan, empat suspek termasuk seorang warga asing berusia antara 28 hingga 38 tahun ditahan susulan serbuan itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967 serta Seksyen 74(1)(a) Akta Eksais 1976.

“JKDM menyeru orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya