BUTTERWORTH : Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang membongkar satu sindiket penyeludupan yang menyembunyikan hampir dua juta batang rokok putih dan kretek dalam sebuah bilik rahsia susulan serbuan di Permatang Pauh pada 8 Oktober lalu.
Pengarah JKDM negeri, Rohaizad Ali berkata, serbuan dibuat ke atas sebuah premis kediaman yang disewa warga asing oleh anggota dari Unit Operasi, Bahagian Penguatkuasaan Pulau Pinang, kira-kira pukul 1 petang.
Katanya, kewujudan bilik rahsia yang ditutup oleh sebuah almari buatan sendiri itu disedari selepas anggota puas menggeledah rumah tersebut selama hampir dua jam, susulan intipan yang dijalankan seminggu sebelum serbuan dilakukan.
“Dari luar, ruang yang kita periksa itu nampak luas, namun, ia sebenarnya agak sempit apabila dimasuki. Selain itu, kedudukan almari yang dilihat terlalu rapat ke dinding juga agak mencurigakan.
“Pemeriksaan lanjut selepas kita mengalihkan almari berkenaan akhirnya membawa kepada penemuan 1,543,100 batang rokok putih dan 450,120 batang rokok kretek pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM581,254.
“Duti atau cukai yang terlibat dianggarkan berjumlah hampir RM1.4 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Stor Penguatkuasan Kastam Bagan Jermal di sini, hari ini.
Rohaizad berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74(1)(e) Akta Eksais 1976.
“Ketika pemeriksaan dilakukan, anggota yang terlibat hanya sempat mengambil keterangan daripada pemilik rumah berkenaan, seorang lelaki tempatan berusia 70-an.
“Lelaki terbabit yang menyewakan rumahnya sejak dua tahun lalu kepada warga asing bagaimanapun dilaporkan tidak tahu-menahu akan kewujudan sindiket tersebut,” katanya yang memaklumkan, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti anggota sindiket penyeludupan itu dan sebagainya.
Tambah Rohaizad, hasil maklumat awal yang diperolehi, rokok-rokok itu dibawa masuk dari Indonesia dan disasarkan untuk dijual di pasaran tempatan.-UTUSAN