PUTRAJAYA: Dua lagi individu termasuk pengerusi syarikat warganegara asing yang ditawarkan projek pembelian baja padi oleh sebuah pertubuhan pertanian ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Perintah reman selama lima hari sehingga 4 November ini dikeluarkan oleh Pendaftar, Tuan Syahrul Sazly Md Sain terhadap kedua-dua suspek, selepas SPRM membuat permohonan tersebut di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki yang berusia kira-kira 40-an hingga 50-an ditahan ketika memberikan keterangan di ibu pejabat SPRM lewat petang semalam.
Hasil siasatan awal mendapati suspek utama yang merupakan Pengurus bagi Bahagian Promosi dan Pemasaran pertubuhan tersebut telah menerima sebut harga daripada wakil syarikat yang terlibat untuk mendapatkan kelulusan daripada Pengerusi Pertubuhan.
Menurut sumber, Pengerusi pertubuhan telah memberi kelulusan untuk melantik syarikat asing itu tanpa perbandingan harga ataupun melalui Lembaga Pengarah.
”Kontrak pembekalan baja bernilai kira-kira RM60juta secara runding terus dibuat dalam tempoh masa enam hari sahaja pada sekitar bulan Jun 2022 sedangkan syarikat asing itu tidak pernah mendapat apa-apa kerja daripada pertubuhan tersebut sebelum ini,” tambah sumber.
Sementara itu Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a)(a)Akta SPRM 2009.
Sehingga hari ini seramai tiga individu telah ditahan termasuk seorang eksekutif pemasaran syarikat yang direman semalam sehingga Sabtu ini.
Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM1.8 bilion untuk perolehan baja pertanian negara. – UTUSAN