Kariah Masjid As Solihin gempar mendapan tanah

Kariah Masjid As Solihin gempar mendapan tanah

WAN Kharizal Wan Khazim menunjukkan kesan mendapan di kawasan parkir motosikal Masjid As Solihin, Kampung Chuping Bawah Bukit, Padang Besar, Perlis, semalam. – UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Kariah Masjid As Solihin, Kampung Chuping Bawah Bukit di sini digemparkan dengan kejadian mendapan tanah yang berlaku di kawasan parkir motosikal masjid berkenaan, semalam.

Kejadian mendapan yang berlaku kira-kira pukul 1.20 tengah hari itu disedari oleh jemaah masjid selepas selesai menunaikan solat Zuhur.

Timbalan Pengerusi Masjid As Solihin, Wan Kharizal Wan Khazim, 62, berkata, bagaimanapun kejadian berkenaan tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa dan hanya sebuah motosikal milik jemaah didapati tenggelam dalam lubang mendapan itu.

“Sewaktu kejadian, jemaah tidak mendengar sebarang bunyi bising dan hanya menyedari kewujudan lubang mendapan itu selepas selesai solat Zuhur,” katanya.

Menceritakan lanjut, Wan Kharizal berkata, mendapan tersebut dipercayai berlaku berikutan lokasi kawasan parkir motosikal itu adalah tapak bekas telaga lama sedalam lima meter yang berusia lebih 30 tahun.

Katanya, sewaktu pembinaan kawasan parkir itu sebelum ini, telaga lama itu dipercayai tidak ditimbus dan hanya ditutup dengan simen sahaja.

“Apabila keadaan begitu, lama kelamaan ia menyebabkan berlakunya mendapan. Tambahan pula sekarang ini musim hujan dan menyebabkan paras air naik sekali gus melemahkan struktur tanah,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Kharizal berkata, pelbagai agensi terdiri daripada Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Pejabat Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan Polis Diraja Malaysia turun ke lokasi bagi meninjau keadaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd. Shokri Abdullah ketika dihubungi Utusan Malaysia turut mengesahkan mengenai kejadian mendapan itu.

Katanya, kawasan mendapan telah ditutup dengan pita penghadang bagi memastikan keselamatan jemaah masjid berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya