KEPALA BATAS : Kapal latihan tentera yang tular kerana singgah di Pulau Pinang Sabtu lalu sebenarnya dinaiki oleh kumpulan pelajar dari Naval University of China.
Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek hari ini.
Menurut Fadhlina, lawatan melibatkan seramai 165 pelajar termasuk pensyarah itu adalah bersifatkan program diplomatik dan pertukaran kebudayaan dalam usaha mengukuhkan hubungan persahabatan antara Malaysia dan China.
Jelasnya, program berkenaan juga telah mendapat kebenaran daripada semua pihak berkuasa yang berkaitan serta mengikut protokol yang digariskan.
“Pertama, saya ingin betulkan di sini. Ia bukan kehadiran tentera tapi pelajar universiti. Kenyataan yang dikeluarkan (kapal tentera China singgah ke perairan Pulau Pinang) tidak betul sekali betul dan ia memberi salah faham yang banyak dalam masyarakat,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan kali ke-62 yang dihadiri oleh 674 pengetua di seluruh negara di Bertam di sini, hari ini.
Mengulas lanjut mengenai penularan gambar berkaitan kapal latihan tentera itu, Fadhlina memberitahu, program terbabit adalah program kebudayaan pertukaran kebudayaan dan sukan serta program yang melibatkan pelajar universiti dan sekolah persendirian Cina sahaja.
“Jadi, tidak timbul soal tentera China datang dan kita memberi perhatian penuh kepada isu ini. dan sebab itu untuk mengelakkan salah faham dan fitnah-fitnah yang berpanjangan pihak sekolah telah membuat laporan polis,” kata beliau.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai menasihatkan orang ramai supaya tidak menimbulkan spekulasi berhubung kunjungan dua kapal latihan dari China bersama pelajar Naval University of China ke Pelabuhan Pulau Pinang.
Katanya, kunjungan silaturahim itu dibuat mengikut saluran rasmi yang turut dihadiri Pegawai Residen Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Pulau Pinang.-UTUSAN