Kanak-kanak rumah amal GISBH selamat dalam jagaan JKM

Kanak-kanak rumah amal GISBH selamat dalam jagaan JKM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengesahkan kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah kebajikan kendalian syarikat Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) berada dalam keadaan selamat di bawah jagaan mereka.

Pengarah Bahagian Kanak-Kanak JKM, Dr Sopian Brahim berkata, mereka ditempatkan di rumah perlindungan bawah JKM di seluruh negara.

“Kanak-kanak iaitu anak ahli GISBH dijaga dengan baik seperti mana kenyataan menteri sebelum ini.

“Insya-Allah, kita (JKM) mengikut prosedur perundangan ditetapkan yang perlu kita akur. Mereka ada di institusi kita yang sudah digazetkan sebagai tempat selamat,” katanya dalam sidang akbar khas di sini hari ini.

Beliau berkata, perincian lanjut berhubung kanak-kanak terbabit akan diberikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri dalam sidang Dewan Rakyat, esok.

Semalam, seramai 96 ibu bapa kepada 174 kanak-kanak yang dikaitkan dengan GISBH memohon anak mereka dipulangkan semula ke pangkuan keluarga masing-masing berikutan sudah hampir lebih sebulan tidak berjumpa.

Jurucakap Gerakan Pulangkan Anak-Anak Kami (GPAAK), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mendakwa, ia kerana anak-anak itu bukan diselamatkan oleh polis dan JKM sebaliknya ditahan, dipisah serta disembunyikan secara tidak sah dari segi undang-undang.

Sebelum ini, media melaporkan, JKM bersedia menyerahkan kanak-kanak dikaitkan dengan GISBH kepada ibu bapa masing-masing sekiranya penjaga mengemukakan kepada mahkamah dokumen pengesahan seperti surat beranak dan kad pengenalan diri.

Segelintir daripada kanak-kanak yang diselamatkan didapati tidak mempunyai kad pengenalan diri serta mengaku tidak pernah berjumpa dengan ibu bapa atau keluarga.

Nancy sebelum ini berkata, pihaknya tidak berniat untuk memisahkan kanak-kanak berkenaan daripada ibu bapa mereka dan langkah yang diambil ini adalah mengikut lunas undang-undang.

Beliau berkata, daripada 660 kanak-kanak yang diselamatkan dalam Op Global, 559 daripada mereka mendapat perintah mahkamah untuk mendapat penjagaan dan perlindungan di bawah JKM bermula Oktober hingga Disember ini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya