Kanak-kanak GISBH: Ada orang intai rumah perlindungan

Ada orang intai rumah perlindungan untuk ketahui keberadaan anak-anak GISBH

NANCY Shukri bergambar bersama wakil agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri pada Program Kolaborasi Strategik di KPWKM Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR/PEMBERITA - KAMA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri mendedahkan ada pihak yang cuba ‘mengintai’ rumah perlindungan dipercayai untuk mengetahui keberadaan kanak-kanak GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) yang diselamatkan.

Tanpa memperincikan dengan lebih lanjut, beliau menegaskan bahawa kesemua kanak-kanak terbabit adalah selamat di bawah jagaan di rumah perlindungan berkenaan berserta kawalan keselamatan yang tinggi.

“Setakat ini belum lagi dibenarkan (untuk bertemu ibu bapa) kerana apabila kita buka ‘flood gate’, akan jadi ramai, yang bukan ibu bapa pun akan datang.

“Sebab kita dapat memerhati ada di tempat-tempat (rumah perlindungan), ada orang yang mengintai di luar, kita tidak tahu sama ada ini ibu atau bapa.

“Oleh sebab itu (dipanggil) rumah perlindungan, perkara pertama kita buat adalah memastikan tempat itu selamat. Kita pun tak tahu siapa yang mengintai,” katanya kepada pemberita selepas Program Kolaborasi Strategik bersama Kerajaan Negeri: Reformasi Penyaluran Bantuan Am Negeri di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung status keselamatan kanak-kanak GISBH yang diselamatkan menerusi Op Global.

Berdasarkan sesi Penerangan Menteri mengenai isu GISBH di Dewan Rakyat semalam, seramai 560 kanak-kanak melibatkan 283 lelaki dan 277 perempuan ditempatkan di pusat perlindungan setelah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapat perintah jagaan sementara daripada mahkamah bagi tempoh dua bulan mengikut peruntukan Seksyen 25(2)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Sementara itu, ditanya mengenai tempoh perintah jagaan kanak-kanak di bawah JKM, Nancy menjelaskan bahawa lanjutan tempoh untuk perlindungan kanak-kanak terbabit perlu mendapat perintah mahkamah, sekiranya ia telah tamat dan siasatan belum selesai.

“Prosedur pertama (tempoh perlindungan) adalah dua bulan, kemudian dua bulan (lagi) sehingga (tempoh) tiga tahun.

“Jika dapat dibuktikan mereka adalah anak kepada ibu bapa yang dituntut, kita akan bebaskan mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN