SHAH ALAM: Kumpulan Senario sepakat menyerahkan trofi kemenangan Artis Komedi Popular, Anugerah Bintang Popular ke-36 kepada keluarga Allahyarham Hamdan.
Menurut anggota Senario, Wahid atau Abdul Wahid Mohamad, nama kumpulan itu kembali menyita perhatian umum selepas berita pemergian Hamdan mendapat liputan luas.
“Kami tidak pernah anggap anugerah ini sebagai undian, tapi hadiah daripada peminat. Kami beranggapan kemunculan semula Senario juga disebabkan arwah Hamdan.
“Berita pemergiannya dilaporkan banyak pihak membuatkan ramai yang mula mengenali kami semula,” ujarnya.
Senario ditemui Utusan Malaysia di majlis sidang media malam kemuncak Anugerah Bintang Popular ke-36 (ABP), di Dewan MBSA, malam tadi.
Lantaran itu, menurut Saiful Apek atau Muhammad Saiful Azam bin Mohamed Yusoff, mereka sudah berniat untuk menyerahkan trofi berkenaan kepada waris keluarga Hamdan.
“Kami sudah agak memang hanya dapat satu trofi kemenangan sahaja.
“Dengan persetujuan sahabat lain, kami serahkan trofi ini kepada arwah,” katanya yang kemudian sama-sama membacakan surah al-Fatihah buat arwah Hamdan.
Senario turut dianggotai Azlee, Pak Ya, Wahid dan Lan Pet Pet.
Dalam acara berprestij itu, Senario menumpaskan pesaing yang lain iaitu Bell Ngasri, Jep Sepahtu, Joey Daud dan Sabri Yunus,
Terdahulu, Allahyarham Hamdan Ramli meninggal dunia pada 5 Januari lalu akibat jangkitan kuman. -UTUSAN