Kamera badan berkesan, aduan salah laku JKDM turun 38 peratus

Kamera badan berkesan, aduan salah laku JKDM turun 38 peratus

ANIS Rizana Mohd Zainudin memakaikan kamera badan kepada anggota dan pegawai kastam di Bangunan AMC, Sepang. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Penggunaan peranti pemakaian kamera badan (BWC) oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) ternyata berkesan apabila statistik aduan yang diterima melibatkan salah laku rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan pegawai menurun sebanyak 38.46 peratus atau lima kes.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd. Zainudin berkata, rekod menunjukkan sebanyak 13 kes aduan dilaporkan dari tempoh 1 Ogos 2022 sehingga 31 Julai 2023.

Namun kata beliau, pihaknya hanya menerima lapan kes aduan selepas BWC digunakan bermula 1 Ogos 2023 sehingga 31 Julai lalu sekali gus membuktikan keberkesanan penggunaan BWC dan meningkatkan tahap integriti pegawai tersebut.

“Kita edarkan sebanyak 60 unit BWC dan ia berjalan dengan baik di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) dan BSI (Bangunan Sultan Iskandar) di Johor.

“Diharap dengan pelaksanaan projek rintis BWC ini selama 36 bulan, kita boleh lihat penambahbaikan dari segi tata kelola, tadbir urus dan integriti dalam kalangan pegawai JKDM,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran BWC JKDM di Bangunan Pentadbiran AMC di sini hari ini.

PEGAWAI JKDM, Mariah Samani (tengah) menggunakan Body Worn Camera (BWC) pada Majlis Pelancaran Body Worn Camera (BWC) di Bangunan AMC, Sepang. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA

Anis Rizana berkata, JKDM mendapat perolehan BWC sebanyak 60 unit secara sewaan bagi tempoh 36 bulan membabitkan kos perolehan RM1.59 juta.

Jelasnya, buat masa ini terdapat lima lokasi yang dipilih untuk menggunakan BWC iaitu 12 unit di Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat, 24 unit di JKDM KLIA Terminal 1 dan Terminal 2, manakala masing-masing sebanyak 12 unit di JKDM Selangor dan Johor.

“BWC ini dikawal selia sepenuhnya oleh Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat JKDM, di mana data bagi setiap rakaman akan dihantar ke Unit Semboyan, bahagian ini untuk direkod dan disimpan bagi tujuan semakan,” katanya.

“Penggunaan BWC ini turut menunjukkan peningkatan kutipan hasil iaitu sebanyak RM6.34 juta bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, berbanding RM5.22 juta bagi tempoh sama tahun lalu, meningkat RM1.12 juta atau 21.46 peratus,” katanya.

Dalam pada itu, Anis Rizana berkata, pada masa akan datang JKDM merancang untuk membekalkan BWC kepada semua pegawai di barisan hadapan untuk memantapkan pengukuhan integriti sekali gus mengurangkan persepsi negatif masyarakat terhadap jabatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya