KUALA LUMPUR: Pelakon, Kamal Adli, 38, enggan mengambil pusing terhadap spekulasi liar yang ditimbulkan netizen mengenai status rumah tangganya ketika ini.
Kata Kamal, dia tidak mampu menghalang orang lain untuk memberikan pandangan justeru enggan melayan sebarang telahan yang ditimbulkan tentang perkahwinannya.
“Saya ada dengar juga orang buat cerita (kisah rumah tangga), saya gelak sahaja.
“Saya pun tak tahu isu apa yang dibangkitkan. Saya pun tak tahu kenapa nak kena keluar tentang isu tersebut.
“Saya okey sahaja. Saya cuba untuk menjadi orang yang lebih terbuka. Kalau bergaduh, saya faham perempuan kadang-kadang emosi, lebih-lebih lagi melibatkan anak. Saya tahu banyak perkara yang dia (Uqasha) fikir, jadi saya yang perlu untuk tenangkan dia,” katanya yang ditemui pada sidang media drama Hikayat Bawang Putih Bawang Merah.
Ogos lalu, seorang individu yang mendakwa dirinya pembantu peribadi kepada seorang pelakon wanita dipukul aktres berkenaan kerana mendedahkan masalah rumah tangganya kepada ibu aktres tersebut.
Perkara itu didedahkan kakak kepada pembantu peribadi tersebut, yang meminta identitinya dirahsiakan. Katanya, adiknya dipukul dua kali termasuk di hadapan ibu pelakon terbabit.
Dakwa wanita itu, aktres tersebut menumbuk bahu selain mengacukan senjata tajam ke arah adiknya sehingga mendatangkan kecederaan.
Tidak mendedahkan identiti pelakon itu, netizen membuat spekulasi liar, mengaitkan Uqasha Senrose sebagai aktres yang dimaksudkan.
Uqasha bagaimanapun tampil menafikan dia terlibat dalam kejadian itu dan menjelaskan secara peribadi tidak tergamak melakukan perbuatan itu.
Kamal dalam masa yang menasihatkan netizen agar tidak berlebihan membuat spekulasi atau membuat andaian meskipun mereka bebas berkata apa sahaja di media sosial.
“Saya tidak marah kerana saya tidak boleh untuk mengawal apa yang orang nak cakap.
“Netizen nak mengata, tapi kadang kala mereka tidak tahu hal sebenar.
“Saya hanya nak beritahu kami pun ada perasaan juga. Nampak okay tapi bila baca-baca komen netizen hati kami tetap terguris. Berjaga-jagalah dalam percakapan,” katanya.
Mengulas mengenai tuduhan pukul pembantu peribadi membabitkan Uqasha, Kamal memaklumkan kes berkenaan masih dalam siasatan polis.
“Apa yang boleh saya cakap semua dakwaan itu adalah fitnah. Kami tenang sahaja, orang sudah beri keistimewaan masuk dalam rumah jadi sebahagian keluarga lepas itu dia (pembantu peribadi) ‘tikam’ kami macam ini.
“Orang boleh menilai kalau mereka tahu cerita sebenar. Berlaku isu hilang barang dan sebagai pembantu peribadi, dia bertugas untuk menjaga, kepada siapa lagi kita nak tanya? Kami bukan nak menuduh, tetapi memang barang itu ditangan dia. Kami tak bising, tak ada jumpa wartawan untuk cerita tentang hal ini. Pihak dia yang mula bercerita.
“Dan isu pukul itu tidak logik. Kalau betul dia dipukul, tunjuk bukti. Kasihan dekat Uqasha, selalu jadi mangsa sejak dituduh membuli lagi. Sudah tentu dia sangat terkesan sampai tahap saya perlu menyakinkan dia untuk tidak melayan.
“Sebagai suami saya memang kasihan tetapi negara kita ada undang-undang. Kalau kami fail saman netizen kata asyik nak saman orang sahaja. Kami tak usik orang. Kami layan orang dengan baik, beri pekerjaan tetapi orang pula ambil kesempatan,” ujarnya.