KUALA LUMPUR: Pelakon, Kamal Adli, mengakui terkesan dengan kisah perceraian dan gangguan rumah tangga golongan artis yang semakin kerap dilaporkan dalam platform media sejak kebelakangan ini.
Kata Kamal atau Ahmad Kamal Ahmad Adli, keadaan itu membuatkan dia dan isteri, Uqasha Senrose, 32, mengambil iktibar dan sedaya upaya menjaga serta memperbaiki hubungan mereka sebagai suami isteri.
“Keadaan ini, di mana satu persatu perceraian berlaku, memang amat menyeramkan.
“Perkahwinan bukan perkara yang mudah. Memang akan timbul masalah dalam hubungan suami isteri. Pergaduhan, ego dan salah faham adalah perkara normal buat pasangan berkahwin.
“Begitu juga saya dan Uqasha. Ada masanya kami tidak sependapat. Tapi keadaan itu masih terkawal.
“Kepada pasangan bercerai, saya doakan yang terbaik untuk mereka. Apa yang menimpa rumah tangga mereka adalah hikmah dan pengajaran buat kami,” katanya ketika ditemui dalam sidang akhbar drama Hikayat Bawang Putih Bawang Merah.
Kamal mengulas mengenai kes perceraian membabitkan golongan artis yang semakin berleluasan kebelakangan ini.
Pelakon berusia 38 tahun itu dalam masa yang sama tidak menafikan terlalu banyak cabaran yang perlu dikendalikan pasangan suami isteri untuk mengekalkan perkahwinan. – UTUSAN