Kaji kadar, tempoh tarik kereta

Kaji kadar, tempoh tarik kereta

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan diminta mewujudkan garis panduan dan penyeragaman kadar perkhidmatan tarik kereta yang dilihat membebankan pengguna berikutan kosnya tidak munasabah.

Disebabkan kelemahan itu, pemain industri boleh sesuka hati menetapkan kadar lebih tinggi.

Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL), Samsudin Mohamad Fauzi berkata, tempoh membolehkan institusi kewangan menarik kenderaan yang mempunyai bayaran ansuran tertunggak ketika ini, iaitu dua bulan satu hari juga dilihat sudah lapuk dan tidak lagi sesuai dengan keadaan semasa.

Menurutnya, tempoh dua bulan satu hari sudah tidak relevan dengan situasi hari ini di mana harga kenderaan semakin meningkat dan pengguna menghadapi tekanan kewangan. 

“Justeru, tempoh ini perlu dikaji semula, mungkin dilanjutkan kepada empat bulan atau lebih, bergantung kepada nilai harga semasa,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, isu kos penarikan kenderaan harus diberikan perhatian serius oleh kerajaan kerana kadar bayaran dikenakan ketika ini tidak mempunyai piawaian yang jelas dan sering kali ditentukan sesuka hati oleh pihak penarik.

“Tiada jadual rasmi yang menetapkan kadar upah penarik kenderaan menyebabkan pengguna terpaksa membayar kos yang kadang-kadang tidak munasabah. 

“Sebagai contoh, ada kes di mana penarikan kenderaan untuk jarak kurang dari 20 kilometer dikenakan bayaran sehingga RM800. Ini adalah satu kadar yang tidak masuk akal,” katanya.

Beliau mencadangkan perundangan sedia ada yang berkaitan dikemas kini untuk menetapkan kadar bayaran penarikan berdasarkan jarak perjalanan bagi mengelak manipulasi harga oleh pihak penarik. 

Dalam pada itu, Samsudin juga bimbang mengenai kemungkinan wujudnya komisen yang diperoleh antara institusi kewangan dan penarik kenderaan, yang hanya akan menambah beban kepada pengguna.

Katanya, PKPKL menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup untuk mengambil langkah segera dalam menangani isu ini, termasuk menetapkan peraturan yang jelas mengenai kadar penarikan kenderaan dan menambah baik tempoh penarikan yang lebih munasabah.

“Kami percaya bahawa tindakan segera perlu diambil oleh pihak berkuasa bagi melindungi pengguna daripada kos yang tidak wajar dan memberi sedikit ruang kepada mereka yang berdepan dengan kesukaran kewangan,” katanya. 

Dengan kenaikan harga kenderaan dan kos hidup yang semakin tinggi, beliau berharap kerajaan akan mempertimbangkan cadangan ini dalam perbincangan akan datang bagi memastikan kepentingan pengguna sentiasa terpelihara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya