KUALA LUMPUR – “Saya tidak pernah menyesal, sebaliknya bersyukur kahwin muda.”
Demikian kata pelakon, Ikmal Amry yang menganggap keputusannya berkahwin di usia muda tatkala populariti sedang meningkat naik adalah tepat dan terbaik buatnya.
Menurut pemilik nama lengkap Mohd Zulikmal Amry Ghazali, 30, fasa perkahwinan yang dilaluinya sejak empat tahun lalu mengajarnya untuk menjadi lebih matang dalam segala hal.
“Pada usia 26 tahun karier saya sedang meningkat naik ketika itu. Tetapi saya mengambil keputusan untuk berkahwin pada tahun 2020. Waktu itu kita masih dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Melalui perkahwinan inilah saya banyak belajar tentang kehidupan, susah payah menyara keluarga dan erti sabar. Perkahwinan ini menjadikan saya lebih matang dan lebih baik,” katanya.
Ikmal berkongsi perkara itu ketika ditemui di sesi sidang media dan tayangan perdana From Saga With Love musim kedua, baru-baru ini.
Ditanya sama ada perkahwinan tersebut menyekat peluangnya terus bersinar dalam industri seni, bapa kepada dua cahaya itu menafikannya sebaliknya rezekinya semakin bertambah.
“Selepas berkahwin rezeki saya semakin mencurah-curah. Bukan sahaja rezeki dalam bidang lakonan tetapi benda lain juga.
“Alhamdulillah, saya sentiasa rasa cukup walaupun tidaklah kaya raya, tetapi tak pernah tak cukup. Itu yang membuatkan saya sentiasa rasa bersyukur,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Ikmal sekali lagi membintangi drama bersiri From Saga With Love 2 selepas musim pertama mendapat sambutan hangat.
Kongsi Ikmal yang memegang watak utama sebagai Sham menerusi drama itu, kini dirinya lebih mahir menghafal skrip dalam bahasa Jepun berbanding musim pertama.
“Untuk musim pertama saya mengambil masa selama dua bulan untuk menghafal skrip dalam bahasa Jepun.
“Tetapi untuk musim ini, saya hanya mengambil masa selama dua minggu sahaja. Mungkin kalau ada musim ketiga nanti saya hanya ambil masa dua hari sahaja,” ujarnya. -UTUSAN