KUALA LANGAT: Program Jurutera Angkasa Muda dedahkan kepada lebih 24,000 murid sekolah rendah dengan teknologi satelit serta keperluan terhadap inovasinya dalam penerokaan angkasa negara.
Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Aminuddin Hassim berkata, pendedahan tersebut diperlukan sebagai usaha memupuk minat generasi muda dalam teknologi angkasa serta menyiapkan sektor itu dengan keperluan tenaga pakar pada masa hadapan.
Menurutnya, program tersebut selaras dengan Dasar Angkasa Negara 2030 yang menyasarkan pencapaian negara maju dalam teknologi pada tahun berkenaan dengan melahirkan saintis bukan sahaja memenuhi keperluan pada masa hadapan, tetapi membekalkannya kepada global.
“Ia penting sebagai platform untuk melahirkan generasi saintis, jurutera dan penginovasi yang akan menerajui teknologi angkasa negara pada masa hadapan. Saya percaya lebih banyak program seumpama itu dapat menarik minat dalam kalangan pelajar terhadap bidang sains dan teknologi selain memperkukuh serta mencipta peluang kerjaya bernilai tinggi.
“Ruang angkasa bukan sekadar platform untuk diterokai, tetapi ia memainkan peranan penting dalam membantu kita memahami dan menguruskan perubahan iklim di bumi. Teknologi angkasa terbukti berupaya memudahkan pemantauan iklim, ramalan cuaca dan pengurusan bencana alam,” katanya ketika berucap pada perasmian penutupan program itu, hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan negara berada pada kedudukan ke-33 dalam Indeks Inovasi Global 2024 iaitu naik tiga anak tangga berbanding statik di tempat ke-36 selama tempoh tiga tahun sebelum ini.
Justeru, kementerian berkenaan berhasrat melaksanakan Indeks Inovasi Malaysia pada tahun hadapan bagi mengumpul dan menyalurkan maklumat kepada Indeks Inovasi Global untuk ditingkatkan pada kedudukan ke-30 dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang.
Dalam pada itu, Aminuddin memberitahu, kementeriannya berharap untuk terus mengembangkan penerokaan dalam teknologi angkasa menerusi Belanjawan 2025 esok dan kewujudan kemudahan melalui 70 syarikat aktif dalam sektor tersebut.
“Dengan adanya Dasar Angkasa Negara 2030, lebih banyak sektor boleh diberi tumpuan dan ada beberapa perancangan yang hendak laksanakan akan cuba melalui kerjasama swasta (PPP) cuba lancarkan satelit penderiaan jauh (remote sensing) ketiga negara kita rancang tidak lama lagi.
“Sebagaimana ramai sedia maklum ada juga negeri-negeri merancang dengan kerjasama kita untuk ada tapak pelancaran (roket) sendiri dan ada juga negeri yang sudah mempunyai perancangan serius untuk mewujudkan bandar angkasa,” ujarnya. – UTUSAN