Juruelektrik tak mengaku tumbuk cermin kereta dan muka lelaki

Juruelektrik tak mengaku tumbuk cermin kereta dan muka lelaki

MOHD. Hafiz Abidin ketika dibawa ke Mahkamah Majistret George Town, Pulau Pinang atas pertuduhan menumbuk cermin kereta selain menumbuk muka seorang lelaki pada 12 September dan 17 Oktober lalu.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Seorang juruelektrik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan iaitu menumbuk cermin sebuah kereta selain menumbuk muka seorang lelaki, pada 12 September dan 17 Oktober lalu.

Tertuduh, Mohd. Hafiz Abidin, 38, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan tersebut dibacakan terhadapnya secara berasingan di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd. Saidi.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa telah melakukan perbuatan khianat dengan menumbuk cermin sebuah kereta jenis Honda BRV sehingga mengakibatkan pemiliknya mengalami kerugian sebanyak RM1570.50.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 17 Oktober lalu di hadapan pejabat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), di Lebuh Peel, di sini, kira-kira pukul 2.30 petang dan atas pertuduhan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa mendatangkan kecederaan kepada seorang lelaki berusia 35 tahun dengan menumbuk di bahagian muka lelaki berkenaan di tepi jalan di Lebuh Kimberley, di sini kira-kira pukul 6.35 petang, pada 12 September lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau dengan denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, M. Darrshini kemudian menawarkan jaminan berjumlah RM6,000 bagi pertuduhan pertama manakala, bagi pertuduhan kedua, jaminan berjumlah RM5,000 ditawarkan.

Sementara itu, peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengurangkan wang jaminan memandangkan tertuduh menjaga ibu serta kakaknya yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) dan gajinya juga berjumlah RM35 sehari.

Majistret kemudian menetapkan jaminan berjumlah RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin serta tertuduh tidak dibenarkan menggangu saksi sepanjang kes berlangsung selain menetapkan sebutan semula kedua-dua kes pada 21 November depan.

Terdahulu, ketika keputusan dibacakan, Mohd. Hafiz bagaimanapun bertindak mengeluarkan kata-kata kesat serta menganggu prosiding dengan membuat bising sebelum diarah supaya dibawa keluar dari mahkamah dengan segera.

Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki tempatan ditahan kerana disyaki memandu kereta jenis Proton Wira secara melulu dan berbahaya di sini, baru-baru ini.

Menerusi rakaman video terbabit, pemandu kereta tersebut dilihat turut memberhentikan keretanya secara tiba-tiba di tengah jalan sehingga membahayakan pengguna jalan raya yang lain.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN