JPJ Perlis kutip tunggakan saman kenderaan Thailand berjumlah RM31,600

JPJ Perlis kutip tunggakan saman kenderaan Thailand berjumlah RM31,600

FATIMAH Mohamed Ali Piah (kanan) memeriksa kenderaan menerusi Ops Kenderaan Perdagangan di Jalan Kuala Perlis-Changlun, Arau, Perlis, hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis berjaya mengutip tunggakan saman kenderaan Thailand berjumlah RM31,600 menerusi Ops Pemandu Warga Asing (PeWA) yang dijalankan selama empat hari sekitar negeri ini.

Tunggakan saman berkenaan dikutip hasil penahanan 16 kenderaan Thailand dalam operasi yang dilaksanakan pada 11, 16, 21 dan 28 Oktober lalu.

Pengarah JPJ negeri, Fatimah Mohamed Ali Piah berkata, pihaknya mengenalpasti banyak kenderaan dari Thailand yang masih gagal melunaskan tunggakan saman mereka atas pelbagai kesalahan menerusi operasi tersebut.

“Jadi di Perlis, kita akan minta mereka untuk jelaskan dahulu tunggakan saman ini barulah mereka dilepaskan untuk merentasi sempadan.

“Dalam tempoh empat hari sahaja kita dapat kutip RM31,600 bagi 16 kenderaan yang mempunyai tunggakan saman ini dan jika mereka dilepaskan, ia akan menyebabkan kerugian kepada hasil kerajaan,” katanya selepas Ops Kenderaan Perdagangan di Jalan Kuala Perlis-Changlun, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Fatimah berkata, menerusi Ops Kenderaan Perdagangan pula, pihaknya memberi fokus kepada kesalahan membawa muatan berlebihan dan pemandu yang disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Katanya, bagi tempoh 1 hingga 28 Oktober, sebanyak 25,977 buah kenderaan telah diperiksa dengan 1, 254 daripadanya telah diambil tindakan.

“Jumlah saman dikeluarkan sebanyak 2,130 dan 56 kes kenderaan berat lebih muatan berjaya dikenalpasti menerusi operasi terbabit.

“Malah, seramai 64 pemandu juga telah melakukan ujian saringan air kencing di mana empat daripadanya positif dadah,” katanya.

Dalam pada itu, Fatimah berkata, seramai 103 pemilik syarikat pengangkutan atau pengendali berlesen kenderaan perdagangan telah diheret ke Mahkamah Majistret Kangar untuk disabitkan atas kesalahan membawa muatan berlebihan.

Katanya, semua pemilik lori itu turut dikenakan hukuman denda oleh mahkamah sebanyak RM5,000 hingga RM 30,000 bagi setiap
kesalahan dilakukan.

“Jumlah denda terkumpul adalah sebanyak RM751,500 dan tindakan berkenaan diambil mengikut Seksyen 57 (1)(b)(vii) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya