KANGAR: Jaguh lontar peluru negara, Jonah Chang Rigan, 21, mensasarkan untuk menghadiahkan pingat buat negara dalam saingan Sukan SEA di Thailand, tahun depan.
Menurut Jonah, pada masa ini, dia memperlahankan sedikit fokus dalam bidang sukan buat seketika dan hanya mengikuti kejohanan tempatan memandangkan baru sahaja melanjutkan pengajian di Universiti Malaya (UM).
Katanya, pada semester hadapan, dia akan kembali memberi perhatian serius sebagai langkah persediaan bagi menghadapi beberapa kejohanan antaranya Sukan SEA.
“Untuk tahun hadapan, saya mungkin akan menyertai beberapa pertandingan antaranya Kejohanan Trek dan Padang Asia (ATF) dan Sukan SEA. Untuk ATF, saya hanya sasar melayakkan diri ke pentas akhir kerana kejohanan itu turut disertai atlat dunia lain, manakala Sukan SEA pula saya memang sasarkan untuk raih pingat.
“Warnanya itu masih belum tahu tapi kalau dapat emas, ia adalah satu bonus,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada
Kejohanan Olahraga Terbuka Perlis Cahya Mata Sarawak Super Series 5 di Kompleks Tuanku Syed Putra di sini, semalam.
Dalam kejohanan itu, Jonah mengungguli acara lontar peluru apabila meraih pingat emas dengan balingan sejauh 16.60 meter, manakala tempat kedua dimenangi Wan Muhammad Irfan Wan Mohd Tahar (13.93 meter) dan gangsa pula diraih Rizad Azri Che Radzi (12.81 meter).
Bagi acara baling tukul besi pula, Jonah meraih pingat gangsa dengan balingan sejauh 48.33 meter, manakala untuk acara lempar cakera juga dia turut meraih pingat sama dengan balingan sejauh 44.16 meter.
Pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024, Jonah beraksi cemerlang apabila berjaya meraih tiga emas dalam acara lontar peluru, baling tukul besi dan lempar cakera.
Selain itu, anak jati kelahiran Sarawak itu turut memecahkan rekod kejohanan dwitahunan itu dalam acara lontar peluru dengan catatan 17.66 meter, sekali gus memperbaharui rekod milik Adi Alifuddin dari Terengganu yang mencatat 17.31 meter ketika edisi 2010 di Melaka.
Dalam perkembangan sama, mengulas mengenai Kejohanan Olahraga Terbuka Cahya Mata Sarawak Super Series, Jonah berkata, dia menyertai saingan itu sebagai tanda sokongan kepada penganjuran kejohanan tempatan.
Tambahnya, dengan menyertai kejohanan seperti itu, dia juga dapat menyokong atlet-atlet pelapis di negara ini khususnya dalam aspek pembangunan sukan.
“Saya menyertai semua pusingan kejohanan ini dan akan turut sama pada siri terakhir di Sarawak nanti yang merupakan negeri kelahiran saya,” katanya.-UTUSAN