JMG, JKR sedang teliti struktur tanah di Taman Melawati

JMG, JKR sedang teliti struktur tanah di Taman Melawati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMPANG JAYA: Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang giat menjalankan penilaian terhadap keadaan struktur tanah di lokasi tanah runtuh di Jalan E6, Taman Melawati, Ampang di sini bagi mengenal pasti sama ada ia selamat atau sebaliknya. 

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, setakat pukul 5 petang ini, pihak JMG bersama Jabatan Cerun Kementerian Kerja Raya sedang melakukan kajian di kawasan terbabit. 

“Pada masa ini kita tidak dapat mengulas lanjut sama ada berlaku pergerakan tanah kerana sedang menunggu laporan penuh daripada mereka berkaitan lokasi kejadian.

“Hasil kajian yang dijalankan juga nanti turut akan merumuskan sama ada kawasan ini selamat atau tidak,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini. 

Mengulas lanjut, Mohd. Azam berkata, pihaknya sudah mengenalpasti 11 keluarga yang mendiami 16 daripada 20 unit rumah terlibat di Jalan E6 di sini. 

Jelas beliau, mereka telah diarahkan berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Taman Keramat manakala empat lagi unit kediaman didapati tidak berpenghuni.

“Mereka akan ditempatkan di PPS sehinggalah kawasan kediaman mereka di sini, disahkan benar-benar selamat,” katanya.

Menurut Mohd. Azam,  pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) sedang melaksanakan kerja-kerja pembersihan runtuhan.

“Kerja-kerja pembersihan ini dijangka selesai petang ini bagi membolehkan urusan keluar masuk terhadap penduduk-penduduk yang terjejas membawa keluar barang-barang penting milik mereka.

“Selain itu, Polis Daerah Ampang Jaya juga akan menempatkan pegawai dan anggotanya bagi mengawasi sekitar kawasan kediaman di Jalan E6 sepanjang proses pembersihan berlangsung,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan kejadian tanah runtuh pada 9.30 pagi tadi akibat hujan lebat. 

Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata,pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.42 pagi berkaitan kejadian tanah runtuh di Taman Melawati di sini. 

“Kejadian tidak melibatkan mangsa dan kediaman namun kira-kira 20 penduduk telah diarahkan keluar dari kediaman mereka,” katanya.

Antara agensi keselamatan yang terlibat dalam adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya