SEREMBAN: Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS) mengesahkan menjalankan siasatan berhubung penggunaan air perigi terapi ion di Ulu Sepri, Rembau yang didakwa boleh menyembuhkan pelbagai penyakit.
Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Datuk Dr. Harlina Abdul Rashid berkata, bagaimanapun siasatan itu masih di peringkat awal sebelum apa-apa kenyataan boleh dikeluarkan mengenainya.
“JKNNS mengambil maklum perkara tular tersebut, dan pada masa ini Pejabat Kesihatan Daerah Rembau sedang melakukan siasatan tersebut.
“Siasatan itu menjurus kepada pemeriksaan persekitaran dan sebagainya.
“Kami akan lihat apakah tindakan selanjutnya yang boleh diambil berdasarkan keputusan yang diperoleh nanti namun siasatan dan dapatan masih lagi terlalu awal,” katanya kepada pemberita pada Op Mega Bersepadu Akta 852 (Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam) di Dataran Senawang di sini, semalam.
Beliau berkata, selain JPNNS, beberapa jabatan lain turut terlibat melakukan siasatan berhubung perkara tersebut.
Tular di media sosial ketika ini berhubung penggunaan air perigi di sebuah kawasan perkhemahan di Ulu Sepri, Rembau yang didakwa mengandungi teknologi rawatan terapi ion.
Penggunaannya juga didakwa boleh memberi kesan kebaikan untuk mereka yang menghidapi penyakit kronik seperti strok, urat saraf dan radang saraf.
Perkara tersebut meraih perhatian pengguna internet dengan ada yang mempersoalkan tahap keberkesanan terapi itu yang hanya menggunakan air mandian dari perigi tersebut.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi aplikasi media sosial X memaklumkan mengambil perhatian serius mengenai isu berkenaan.-UTUSAN