Jiran Sabari pernah jumpa suspek bina rumah anak saudara - Utusan Malaysia

Jiran Sabari pernah jumpa suspek bina rumah anak saudara

LORONG masuk ke rumah Mohd. Sukeri Karim perlu melalui pagar rumah Sabari Baharom yang terletak di Kampung Mengkuang Tengah, Kuala Pegang di Baling.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Jiran kepada Sabari Baharom, 62, pernah bertemu suspek kerana dia menjalankan kerja-kerja pembinaan rumah milik anak saudaranya yang terletak kira-kira 100 meter dari rumahnya di Kampung Mengkuang Tengah di Kuala Pegang, di sini.

Menurut Mohd. Sukeri Karim, 61, suspek yang merupakan kontraktor pernah datang ke rumahnya untuk berkenalan ketika mahu memulakan pembinaan kediaman tersebut pada tahun lalu.

“Anak saudara pernah bawa sekali sahaja ke rumah masa mula-mula nak buat rumah itu. Saya nampak dia baik juga, tetapi tak sangka boleh jadi macam itu. Selepas itu saya tak pernah jumpa dia, cuma nampak kereta dia dari jauh,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.

Sementara itu, katanya, kali terakhir dia bertemu Sabari adalah kira-kira pukul 6.30 petang, 3 September lalu di pintu pagar rumahnya.

“Waktu itu saya sedang meracun dan nampak dia naik kereta Perodua Kancil dan beritahu mahu pergi mengurut di Charok Bemban dan akan tunggu seorang kawan di sebuah masjid di situ. Selepas itu saya tidak lagi berjumpa Sabari sebelum dia dilaporkan hilang dalam tempoh lama,” ujarnya.

Menurutnya, pada malam kehilangan Sabari, dia tidak mendengar sebarang bunyi mahupun melihat pergerakan mencurigakan.

Sementara itu, katanya, dia dan isteri ketakutan dan trauma selepas insiden tragis menimpa Sabari yang mana rumahnya dengan kediaman Sabari adalah paling hampir iaitu kurang 50 meter sementara rumah anak saudaranya yang sedang dibina pula berada di sebelah hadapan rumah Sabari pada jarak tidak sampai 100 meter.

“Rumah jiran lain yang paling hampir pula adalah kira-kira 100 meter. Rumah saya ini paling hujung dan jalan mati, belakang rumah cuma ada kebun getah.

“Sehubungan itu saya dan keluarga bimbang juga dengan keselamatan kami setelah apa yang berlaku sehingga anak-anak bercadang untuk memasang televisyen litar tertutup (CCTV) di sekeliling rumah sebagai langkah keselamatan,” katanya.

Katanya, dia dan isteri tidak dapat tidur lena selepas mengetahui kejadian berkenaan dan akan mencatatkan nombor plat setiap kenderaan yang masuk ke sini.

“Kebanyakan yang masuk ke sini sebab tersesat jalan dan mereka akan buat pusingan di depan rumah Sabari berikutan kedudukan rumah kami paling hujung di belakang. Jika ada bunyi pelik pada waktu malam, kami akan bangun dan menjenguk dari tingkap,” ujarnya.

Tambahnya, Sabari merupakan seorang jiran yang sangat baik dan sering bersedekah hasil kebunnya kepada orang kampung dan rakan-rakannya.

“Saya sedih kerana Sabari sangat ambil berat tentang diri saya yang menghidap Parkinson dan akan datang ke rumah jika tidak nampak saya di masjid. Sekiranya dia hendak ke mana-mana sama ada ke rumah anak-anaknya di Sungai Petani atau berjumpa isterinya di Kuala Lumpur, Sabari akan maklumkan kepada saya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN