JHEAIK tahan 21 pengikut Syiah di Pendang

JHEAIK tahan 21 pengikut Syiah di Pendang

OPERASI Khas Syiah menahan 21 penduduk dipercayai pengikut Syiah yang berhimpun meraikan hari lahir Imam Hasan Al-Askari di Tobiar, Pendang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sekumpulan 21 penduduk tempatan dipercayai pengikut fahaman Syiah ditahan dalam operasi membanteras ajaran sesat di Kampung Alor Berala, Tobiar dekat Pendang, Selasa lepas.

Ketua Pegawai Penguat kuasa Agama, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK), Syeikh Zainul Mukhtar Abdullah Sirajuddin berkata, operasi melibatkan pihaknya dan polis itu dijalankan setelah mendapat maklumat berkaitan perhimpunan memperingati hari kelahiran Imam Ke-11 pengikut Syiah, Imam Hasan Al-Askari.

“JHEAIK menerima maklumat terdapat pengikut-pengikut Syiah akan berkumpul bagi memperingati Maulid Imam Syiah Ke-11, Imam Hasan Al-Askari bertempat di rumah Abdullah Hassan yang didakwa sebagai ketua Syiah di Kedah.

“Sehubungan itu, JHEAIK bersama PDRM mengadakan Operasi Khas Syiah pada pukul 9.50 malam, Selasa lalu. Setelah melakukan pemeriksaan, Pegawai Penguatkuasa Agama (PPA) JHEAIK menahan 21 orang iaitu enam lelaki, sembilan  perempuan dan enam kanak-kanak berusia lingkungan tiga hingga 77 tahun,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut beliau, pihaknya turut merampas kitab-kitab dan barangan yang dikaitkan dengan ajaran tersebut.

“Kesemua mereka dibawa ke Pejabat Agama Daerah Pendang untuk siasatan lanjut. Mereka disiasat di bawah Seksyen 9 dan 12 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Kedah Darul Aman) 2014 kerana menghina atau mengingkari pihak berkuasa agama serta penerbitan agama yang bertentangan dengan hukum syarak.

“Pada 15 Jun 2014, ajaran dan fahaman Syiah diwartakan bercanggah dan menyeleweng dari ajaran pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi teras pegangan masyarakat Islam khususnya di negeri Kedah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya