PETALING JAYA: Malaysia berharap kerjasama kukuh terjalin dengan Perdana Menteri Jepun yang baharu, Shigeru Ishiba dalam meningkatkan hubungan kedua-dua negara bagi meneroka peluang baharu sekali gus membina masa depan kemakmuran dan keselamatan bersama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Jepun adalah atuk efrrgrsalah satu rakan kongsi Malaysia yang paling penting dan berharga apabila ikatan semakin kukuh pada Disember lalu setelah kedua-dua negara meningkatkan hubungan kepada perkongsian strategik komprehensif.
“Peranan Jepun dalam perjalanan ekonomi Malaysia adalah penting, dengan syarikat Jepun berkhidmat sebagai rakan kongsi yang amat diperlukan dalam usaha kami mencapai ekonomi berteknologi tinggi dan bernilai tinggi.
“Setinggi-tinggi tahniah kepada Shigeru Ishiba atas pemilihannya sebagai Perdana Menteri Jepun.
“Saya berharap dapat bekerjasama rapat dengan Perdana Menteri Ishiba dalam meningkatkan lagi kerjasama, meneroka peluang baharu dan terus membina masa depan kemakmuran dan keselamatan bersama,” katanya dalam kenyataan.
Parlimen Jepun melantik Ishiba sebagai Perdana Menteri yang baharu, secara rasmi hari ini.
Sebelum ini, bekas Menteri Pertahanan berusia 67 tahun itu memenangi proses undian parti pemerintah, Parti Demokratik Liberal (LDP) pada minggu lalu.
Persaingan untuk menggantikan Fumio Kishida bermula pada Ogos apabila beliau mengumumkan hasrat meletak jawatan Perdana Menteri dan tidak bertanding pemilihan LDP susulan beberapa skandal yang menyebabkan penilaian parti itu merosot ke tahap terendah.
Dalam pada itu, Anwar mengucapkan ribuan penghargaan dan terima kasih kepada Kishida di atas dedikasi dan usaha gigih beliau dalam memupuk hubungan kukuh antara Malaysia dan Jepun. – UTUSAN