Jenazah tiga pelajar UiTM maut dirempuh SUV selesai disembahyang - Utusan Malaysia

Jenazah tiga pelajar UiTM maut dirempuh SUV selesai disembahyang

SEBAHAGIAN daripada jemaah terdiri daripada ahli keluarga dan warga UiTM menunaikan sembahyang jenazah tiga pelajar UiTM yang maut di Masjid UiTM Kampus Dungun, Dungun, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Jenazah ketiga-tiga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun yang maut dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CRV berhampiran universiti itu semalam, selesai disembahyangkan di Masjid UiTM itu kira-kira pukul 10.45 pagi tadi.

Solat jenazah diketuai Imam Masjid UiTM Dungun, Muhammad Adam Ali dan disertai
lebih 1,000 jemaah terdiri daripada ahli keluarga dan warga UiTM.

Terdahulu, jenazah Ku Adib Aizad Ku Azmi dan Khairil Anwar Jamaludin masing-masing berusia 20 tahun dan Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, dibawa dengan van jenazah dari Unit Forensik Hospital Dungun selepas selesai proses bedah siasat.

Ahli keluarga ketiga-tiga mangsa dilihat saling berpelukan dan mengalirkan air mata ketika diberi peluang menatap jenazah kesemua mangsa sebelum dikafankan di hospital itu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.20 malam tadi, tiga penuntut UiTM itu maut manakala seorang lagi rakan mereka cedera selepas motosikal Yamaha Y15ZR dan Yamaha 135 LC yang dinaiki mereka dirempuh dari arah belakang oleh sebuah Honda CRV yang dipandu seorang wanita berusia 49 tahun di hadapan UiTM tersebut.

Difahamkan, ketika kejadian keempat-empat mangsa baru sahaja selesai menikmati makan malam dan sedang dalam perjalanan pulang ke kampus itu.

Jenazah Muhammad Akmal yang merupakan pelajar Sarjana Muda Sains Pengurusan Perkhidmatan Makanan akan dibawa pulang ke Muar, Johor dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Baru, Batu 18, Ayer Hitam.

Jenazah Khairil Anwar yang merupakan pelajar Sarjana Muda Sains Perakaunan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam UK Perdana, Ampang, Selangor manakala jenazah Ku Adib Aizad, 20, pelajar Sarjana Muda Sains Perakaunan akan dibawa pulang ke Sungai Buloh, Selangor. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN