SUNGAI BULOH: Jenazah Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20, salah seorang daripada tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang terbunuh di Dungun, semalam dijangka sampai ke kediamannya lewat petang ini.
Bapa saudara kepada Ku Adib iaitu Muhd. Nadzir Mohd. Sahrum berkata, jenazah anak saudaranya akan dikebumi di Tanah Perkuburan Radhatul Aliyah Saujana Utama malam ini.
“Kami menunggu keluarga Adib yang baru berlepas dari Jeddah dan mereka dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 3 atau 4 petang hari ini.
“Pengurusan jenazah di Dungun sudah selesai dan kini arwah diiring adiknya, Ku Azra, 18, menuju ke rumah mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, menurut Ketua Komuniti Sura Hujung, Syafiqah Nabilah, ibu bapa Ku Adib baru sahaja berlepas ke Mekah bagi menunaikan ibadah umrah pada pukul 7 malam semalam.
“Kejadian kemalangan berlaku pukul 7.25 malam dan ketika nahas berlaku, ibu bapanya baru sampai ke Jeddah,” katanya.
Jelas Muhd. Nadzir, ibu bapa Ku Adib kemudian menerima banyak notifikasi di telefon setelah memberitahu anaknya sulungnya itu terlibat dalam kemalangan maut. – UTUSAN