KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 20 November ini untuk jatuh hukum seorang jurukimpal yang mengaku bersalah atas tuduhan memiliki barangan berkaitan kumpulan pengganas Islamic State (IS).
Hakim K. Muniandy menetapkan tarikh tersebut selepas merekodkan pengakuan tertuduh, Muhammad Fesool Haron, 35.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Fesool didakwa memiliki item-item berkait IS dan perbuatan kumpulan itu di dalam sebuah telefon bimbit.
Kesalahan dilakukan di sebuah syarikat perkhidmatan air di Kawasan Perindustrian Kempas, Johor Bahru pada pukul 1.30 tengahari, 30 Mei lalu.
Lelaki itu didakwa di bawah Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 130JB(1) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda, dan hendaklah dilucuthakkan mana-mana bahan tersebut jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim mencadangkan satu tarikh baharu bagi membolehkan pendakwaan menyediakan fakta kes sebelum hukuman dijatuhkan oleh mahkamah.
“Saya memohon kepada mahkamah untuk satu tarikh bagi jatuh hukum dan saya yakin pihak pembelaan tiada bantahan,” kata Mohammad Fakhrurrazi.
Peguam bela, N. Kanmani yang mewakili tertuduh tidak membantah terhadap permohonan tersebut. – UTUSAN