Jasmine Loo nafi buat `perjanjian' elak pendakwaan

Jasmine Loo nafi buat `perjanjian’ elak pendakwaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas peguam syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan menafikan beliau ada membuat perjanjian dengan pihak berkuasa di Malaysia bagi mengelak dirinya diekstradisi oleh pihak berkuasa di Switzerland.

Wanita yang sebelum ini dikatakan sekutu kepada ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low atau Low Taek Jho turut menafikan beliau berselindung di sebalik program perlindungan saksi bagi mengelak dirinya dikenakan sebarang pendakwaan di negara terbabit.

Ai Swan, pada prosiding hari ini juga, turut menolak untuk menjawab pertanyaan mengenai penglibatannya dalam program perlindungan saksi atas nasihat oleh para peguamnya.

Saksi itu memberikan keterangan berikut ketika disoal balas oleh peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Riza Aziz yang juga anak tiri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Pada 7 Mei 2021, 1MDB dan tiga anak syarikatnya, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited dan 1MDB Energy (Langat) Limited selaku plaintif memfailkan saman terhadap Riza atau nama penuhnya, Riza Shahriz Abdul Aziz dan dua syarikat lelaki berkenaan iaitu Red Granite Pictures Incorporated dan Red Granite Capital Limited sebagai defendan.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah firma guaman di Amerika Syarikat, Shearman & Sterling.

Tuntutan saman yang difailkan itu adalah sebahagian daripada tindakan undang-undang yang dimulakan oleh 1MDB terhadap sembilan entititi termasuk dua institusi kewangan luar dan 25 individu dalam usaha mendapatkan semula asetnya.

Menurut writ saman yang difailkan pada 7 Mei 2021, plaintif mendakwa kesemua defendan telah menerima kira-kira AS$248 juta dalam dana yang dilesapkan daripada plaintif antara 2011 dan 2012 selain mendakwa mereka menggunakannya untuk kepentingan diri dan sekutu, termasuk bagi tujuan pembiayaan produksi filem dan pembelian pelbagai hartanah.

1MDB mendakwa firma guaman Shearman & Sterling membenarkan Riza serta ‘sekutunya’ iaitu ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho (Jho Low) menggunakan akaun klien di firma itu untuk mengubah sejumlah besar dana yang diselewengkan.

Sehubungan itu, plaintif menuntut deklarasi bahawa Riza bertanggungjawab atas dana yang dilesapkan dan diterima atas alasan penerimaan berpengetahuan atau secara alternatifnya penolongan tidak jujur.

Writ saman itu juga menyebut, plaintif-plaintif berhak untuk dibayar balik dana yang dilesapkan dan diterima defendan pertama atas alasan menjadi kaya secara tidak adil (unjust enrichment).

Sementara itu menurut penyataan pembelaan Riza dan dua syarikatnya, dia mendakwa memperoleh pinjaman daripada keluarga diraja Arab Saudi atau International Petroleum Investment Company (IPIC ) untuk menerbitkan beberapa filem di Amerika Syarikat dan bukannya daripada dana 1MDB.

IPIC merupakan syarikat yang ditubuhkan di Abu Dhabi yang pada ketika itu Pengarah Urusannya adalah Khadem Abdullah Al-Qubaisi, yang merupakan bekas pembantu Sheikh Mansour Zayed Al Nahyan iaitu Timbalan Perdana Menteri Emiriah Arab Bersatu dan juga ahli keluarga diraja.

Perbicaraan yang didengar oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan bersambung 30 Oktober ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya