PUTRAJAYA: Jabatan Alam Sekitar (JAS) menyangkal dakwaan segelintir pihak kononnya jabatan ini menjadi penghalang kepada pembangunan negara susulan isu kelewatan dalam laporan penilaian impak alam sekitar (EIA).
Ketua Pengarah Alam Sekitar, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, dakwaan itu tidak benar sama sekali sebaliknya proses kelulusan dibuat mengikut garis panduan, polisi dan piagam ditetapkan jabatan.
Beliau berkata, pihaknya melaksanakan proses dengan betul dan ia bergantung kepada kecepatan kajian EIA yang diserahkan oleh perunding.
“Di luar sana, orang cakap kita ambil masa yang panjang dan ini tidak tepat. Rupanya apabila disemak, perunding yang ambil masa lama untuk siapkan kajian EIA.
“Ada juga kes di mana perunding maklumkan kepada pemaju bahawa JAS ambil masa lama untuk luluskan EIA sedangkan kajian mereka yang lambat siap.
“Malah, ada juga laporan yang kami terima dalam bentuk ‘copy and paste’. Ada sesetengah kes, projek yang akan dilaksana di tempat lain tapi kajian EIA dibuat di tempat lain,” katanya pada sesi interaktif Ketua Pengarah Alam Sekitar Bersama Media berhubung pindaan Rang Undang-Undang Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024 dan EIA, di sini hari ini.
Katanya, setakat ni, seramai 600 perunding EIA berdaftar dengan JAS malah, sudah ada perunding yang disenaraihitamkan kerana didapati menipu kajian EIA.
Wan Abdul Latiff berkata, setiap laporan dan kajian EIA yang diterima perlu diteliti mengikut tempoh yang telah ditetapkan jabatan.
“Kalau ada orang kata kita ambil masa, memang kita ikut piagam dan Sistem Pengurusan Kualiti (ISO) yang telah ditetapkan jabatan dalam melulusan EIA.
“Kami ingin jelaskan bahawa laporan EIA adalah laporan teknikal dan saintifik yang perlu diberi penelitian dan bukan setakat terima dan terus disokong sahaja,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Penilaian EIA JAS, Rohimah Ayub berkata, pihaknya juga pernah menerima laporan kajian EIA yang tidak ikut format dan tiada perakuan daripada perunding berdaftar.
“Kadang-kadang tiada perakuan daripada perunding berdaftar. Apabila disemak perunding itu tidak terlibat pun dalam kajian itu sebaliknya nama mereka digunakan.
“Apabila laporan itu diterima, kita tak nilai laporan itu kami terpaksa hantar semula laporan itu. Apabila disebut kajian EIA, ia memerlukan komitmen daripada perunding itu sendiri.
“Dalam aspek EIA ini, banyak jabatan dan agensi terbabit namun, JAS hanya terbabit dalam kualiti alam sekeliling, pencemaran udara, darat dan air,” katanya. – UTUSAN