Jangan usik rakan-rakan komponen dalam kerajaan Perpaduan - Ahmad Zahid - Utusan Malaysia

Jangan usik rakan-rakan komponen dalam kerajaan Perpaduan – Ahmad Zahid

AHMAD Zahid Hamidi bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Rakan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di Putrajaya, hari ini. - UTUSAN/FAIZ ALIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberi peringatan kepada seluruh pimpinan dan ahli parti agar tidak mengusik rakan-rakan di dalam komponen parti Kerajaan Perpaduan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, seruan itu juga bagi mengekalkan keadaan dan situasi perpaduan di dalam kerajaan ketika ini.

Menurut beliau, apa sahaja kenyataan yang telah dikeluarkan oleh pimpinan parti juga adalah bersifat peribadi.

“Kenyataan Nur Jazlan atau kenyataan Dr. Akmal, itu adalah kenyataan-kenyataan peribadi. Selagi Presiden parti atau ketua parti tidak mengeluarkan sebarang kenyataan, kenyataan-kenyataan itu adalah berbentuk peribadi.

“(Jadi) tidak perlu minta maaf. Jangan usik rakan-rakan komponen di dalam parti Kerajaan Perpaduan, kita harus menghormati di antara satu sama lain.

“Yang penting kita mesti mengekalkan keadaan dan situasi perpaduan kerajaan sekarang ini, jangan timbulkan sebarang masalah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Rakan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang meminta Pakatan Harapan (PH) memohon maaf secara terbuka kepada UMNO atas serangan selama berdekad terhadap parti itu.

Menurut Nur Jazlan, Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada September lalu menunjukkan, tiada satu pun parti tunggal dalam gabungan Kerajaan Perpaduan boleh mendakwa menjadi tunjang utama dalam pakatan berkenaan.

Pada masa sama, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional meminta semua supaya mengetepikan perbezaan pandangan dan terus menjalin kerjasama yang baik.

“Tadi sebelum dan selepas mesyuarat Jemaah Menteri saya telah bertemu dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), saya (juga) bertemu dengan presiden, pengerusi dan setiausaha agung parti-parti dalam komponen Kerajaan Perpaduan.

“Kita ketepikanlah perbezaan pandangan ini dan kita mesti berjalan ke hadapan untuk menjalin kerjasama yang baik bagi menghadapi apa sahaja kemungkinan termasuk pilihan raya kecil (PRK) atau pilihan raya umum (PRU),” ujarnya.

Ketika ditanya sama ada sebarang tindakan akan dikenakan terhadap Nur Jazlan, beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya