Jangan hanya kaut untung, laksana kerja sebaiknya - Alexander

Jangan hanya kaut untung, laksana kerja sebaiknya – Alexander

ALEXANDER Nanta Linggi (tiga, kanan) bersama Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Shahelmey Yahya (tiga, kiri) beramah mesra dengan kontraktor yang hadir pada majlis penyerahan SST di Kota Kinabalu semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengingatkan kontraktor-kontraktor yang terlibat dalam pembinaan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah agar tidak hanya fokus untuk memperoleh keuntungan sebaliknya, siapkan kerja dengan sebaiknya.

Beliau berkata, pembinaan LPB Sabah adalah cabaran yang besar untuknya sejak memegang jawatan sebagai Menteri Kerja Raya jadi, beliau mahu lakukan yang terbaik bagi memastikan rakyat di negeri ini dapat menikmati manfaat LPB dengan segera.

“Ini adalah kewajipan moral kepada rakyat kita di Sabah. Kita rasa berdosa sekiranya mengecewakan mereka. Maka, saya mahu kontraktor yang dilantik ini siapkan pembinaan LPB ini dengan baik.

“Kamu (kontraktor) akan memperoleh duit yang banyak jadi, saya harap jangan hanya kaut keuntungan tetapi, pastikan projek yang dilaksanakan berkualiti dan siap pada tempoh masa yang dijadualkan.

“Tidak wajar sebagai kontraktor kamu mahu memperoleh keuntungan namun, kamu tidak memberi perhatian kepada kualiti projek yang kamu siapkan. Kamu patut rasa bersalah jika tidak buat kerja dengan baik,” katanya semasa Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) kepada 13 kontraktor yang dilantik bagi pembinaan Fasa 1B Lebuhraya Pan Borneo Sabah, di sini semalam.

Nanta turut memberi amaran kepada kontraktor agar tidak cuba mencari jalan singkat untuk menyiapkan projek pembinaan LPB tanpa mengambil kira kualiti jalan yang dibina.

Katanya, jika kontraktor buat kerja sambil lewa dan berlaku kemalangan jiwa akibat kualiti jalan yang tidak baik, bayangkan perasaan bersalah yang akan dialami.

“Itu sebabnya di peringkat kementerian, amat penting bagi kami untuk memastikan kualiti jalan dalam keadaan baik kerana jika penunggang motosikal terlanggar lubang hingga menyebabkannya kehilangan nyawa, kita patut bertanggungjawab. Orang pertama yang patut bertanggungjawab adalah menteri,” katanya.

“Maka, sebab itulah kontraktor perlu melakukan kerja pembinaan jalan dengan sebaiknya dan saya percaya kontraktor yang terpilih ini telah melalui proses pra-kelayakan. Jadi kontraktor seharusnya mempunyai kelayakan untuk menyiapkan projek yang diamanahkan dengan baik dan menepati kualiti yang ditetapkan,” tegasnya.

Dalam pada itu, Nanta turut mengarahkan Kementerian Kerja Raya Sabah dengan kerjasama Ketua Setiausaha KKR Pusat untuk menubuhkan jawatankuasa pemantau pembinaan LPB di Sabah agar proses pembinaan 13 pakej kerja berjalan lancar dan mengikut spesifikasi kualiti yang ditetapkan.

Secara keseluruhan pakej kerja Fasa 1B dibahagikan kepada 19 pakej kerja daripada keseluruhan 35 pakej kerja untuk fasa satu projek pembinaan LPB Sabah. Tempoh pembinaan pakej kerja Fasa 1B antara 36 hingga 48 bulan dengan kos pembinaan berjumlah RM13.98 bilion.

Skop projek yang terlibat adalah pembinaan Jalan Persekutuan baharu dari Kota Belud ke Kudat serta penambahan Jalan Persekutuan dari Ranau ke Lahad Datu sepanjang 370 kilometer. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya