KUALA LUMPUR: Penyanyi, Bella Astillah, sedih apabila namanya terselit dalam senarai ‘Janda Untuk Dihalalkan’ yang dikongsi warganet di media sosial.
Bella atau Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 30, enggan kegagalannya mempertahankan rumah tangga menjadi bahan jenaka masyarakat umum.
“Saya rasa sangat sedih apabila nampak nama di situ dan kemudian dijadikan jenaka.
“Tiada siapa ingin berkahwin dan merancang untuk bercerai. Saya cuma mahu jalan ke depan,” katanya dengan nada sebak.
Bella berkata demikian ketika mengulas mengenai tindakan segelintir pihak yang mengeluarkan senarai lapan artis wanita yang baru sahaja bercerai dengan label ‘Janda Untuk Dihalalkan’.
Turut sama berada dalam senarai itu ialah Nora Danish, Nur Fazura, Emma Maembong, Mawar Rashid, Puteri Sarah, Rita Rudaini dan Ira Kazar.
Tidak mampu menyembunyikan kesedihan, bekas isteri kepada pelakon, Alif Aziz itu mengakui hatinya masih hiba setiap kali memikirkan tentang perceraian.
“Saya okey sahaja, cuma kalau boleh tidak mahu lagi cakap lagi mengenai hal melibatkan perceraian atau gelaran janda.
“Saya kini lebih senang untuk bagi fokus kepada soal kerjaya dan anak-anak sahaja, terima kasih,” katanya ketika ditemui di sidang media Konsert A Night With Sumandak Stars, pada Rabu.
Terdahulu, rumah tangga yang dibina Bella dan Alif akhirnya berakhir pada 13 Jun apabila mereka sah bercerai talak satu.
Sepanjang berkahwin, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohamad Ayden Adrean, 7, dan Ara Adreanna, 4 -UTUSAN