Jadikan Rumah Pena pusat kegiatan pengkaryaan sastera.

Jadikan Rumah Pena pusat kegiatan pengkaryaan sastera.

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan sumbangan sebanyak RM50,000 kepada Persatuan Penulis Nasional (Pena) bagi membaik pulih fasiliti rumah persatuan di samping sebagai tanda sokongan kerajaan terhadap usaha memartabat dunia penulisan dan kesusasteraan negara. 

Perdana Menteri menerusi satu hantaran di Facebook memaklumkan, sumbangan itu disampaikan oleh Setiausaha Politiknya, Datuk Farhan Fauzi, baru-baru ini.

Menurutnya, pertemuan itu merupakan lanjutan daripada sesi dialog antara beliau bersama tujuh Sasterawan Negara pada Jun lalu yang telah mencetuskan pelbagai idea bernas terkait usaha pemerkasaan seni, budaya dan sastera di negara ini.

“Usai perbincangan dengan pihak Pena, saudara Farhan telah menyampaikan sumbangan sebanyak RM50,000 bagi pihak saya bertujuan membaik pulih fasiliti rumah persatuan dan tanda sokongan kerajaan terhadap usaha memartabat dunia penulisan dan kesusasteraan negara. 

“Insya-Allah, hasil perbincangan dan sumbangan ini dapat membantu Pena terus memainkan peranan penting mengembangkan bakat, memelihara intelektual serta memperkasa suara penulis tempatan.

“Ini juga sebahagian usaha menjadikan Rumah Pena sebagai pusat tumpuan dan pertembungan kegiatan pengkaryaan sastera, bahasa dan kebudayaan,” katanya.

Pada Jun lalu, Anwar sendiri mengadakan pertemuan dengan tujuh Sasterawan Negara untuk mendengar sendiri keluhan, teguran dan pandangan bagi menambah baik usaha pemerkasaan seni, budaya dan sastera negara.

Dalam pertemuan itu, beliau berkata, kerajaan akan memberi perhatian serius terhadap usaha mengangkat martabat seni, budaya dan sastera negara selaras ikhtiar yang digariskan dalam gagasan Malaysia Madani.

Pada sesi dialog lebih satu setengah jam itu, pelbagai idea bernas dilontarkan para sasterawan antaranya mewujudkan Majlis Sastera Nusantara sebagai wadah pertukaran idea antara negara-negara nusantara dan merancakkan usaha penterjemahan selain mempertimbangkan peranan atase kebudayaan.

Turut dicadangkan adalah menjadikan kawasan sekitar Jalan Belfield dan Jalan Bukit Petaling yang menempatkan pejabat Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Rumah Pena serta Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai lokasi tumpuan dan pertembungan kegiatan sastera, bahasa dan kebudayaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya