KUALA LUMPUR: Kisah-kisah di dalam al-Quran perlu dijadikan sebagai teladan dan semangat untuk negara terus bergerak ke hadapan serta membina masa depan yang lebih baik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemikiran jumud dan langkah yang tergopoh-gopoh serta tidak bijaksana menyebabkan negara berhadapan dengan cabaran.
Kata beliau, semua pihak perlu belajar daripada pengalaman dan mengambil semangat al-Quran untuk ke arah yang lebih baik.
“Dengan rahmat Allah, semangat kasih sayang dan ihsan maka diberikan kemaafan tetapi mesti kembali beristifar kepada Allah SWT supaya kecurangan lampau, kegelojohan, tamak haloba, rasuah, penyelewengan dan kerakusan kuasa dihentikan.
“Itu bermakna (apa) yang disebutkan istighfar kepada Allah SWT,” katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-64, di sini, malam ini.
Majlis yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Anwar berkata, semangat rundingan secara berterusan juga perlu diamalkan demi mendapatkan satu natijah yang membawa negara ke arah kebaikan.
“Betapa pintar sekali pun kita di dalam pelbagai bidang, betapa hebatnya kita (atau) diraikan seperti mana pun, dianggap alim setara mana pun. Jangan lupa, keputusan kita berasaskan kesefahaman dan niat (yang) ikhlas,” katanya.
Sementara itu, beliau menyeru supaya maksud dan keperluan perpaduan dalam kalangan umat Islam di dalam negara ini difahami dengan secara mendalam.
“(Ini) kerana kekuatan dalaman dan l kekuatan negara itu menjadi tonggak sebelum kita mampu melangkah ke seterusnya.
“Sebab itu dalam Kerajaan Madani ini, kita mulakan dengan memupuk semangat perpaduan yang kental dalam kalangan kita. Menjamin supaya ada sefahaman dan perdamaian di antara umat Islam dan bukan Islam di negara kita.
“Kerana itu menjadi prasyarat bagi kita membangunkan ekonomi yang mampan, ini supaya kemampanan itu akan memberi pengertian yang berbeda,” jelasnya.
Tambahnya, negara Madani perlu difahami kerana tidak banyak negara mempunyai ruang dan kesempatan untuk memperoleh kerukunan hidup damai dan meletakkan asas ekonomi yang kukuh serta kini mendapat perhatian dalam pelbagai bidang.
“Kita mahu umat Islam terus meneroka dalam bidang-bidang baharu yang dahulu asing kepada kita,” katanya. – UTUSAN