Jabatan Kesihatan Negeri siap siaga bantu mangsa banjir - Utusan Malaysia

Jabatan Kesihatan Negeri siap siaga bantu mangsa banjir

KASEMANI Embong (dua, kanan) diberi penerangam ketika melawat pameran selepas Majlis Perasmian MIREX peringkat kebangsaan 2024 di Kuala Nerus, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Seramai 796 petugas Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu akan digerakkan untuk membantu mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri pada musim banjir akan datang.

Pengarahnya, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, daripada jumlah itu, seramai 380 petugas akan mengendalikan aktiviti pencegahan di samping kawalan penyakit sebelum, semasa dan selepas banjir di PPS serta di kawasan terjejas banjir.

Menurutnya, setiap pasukan kesihatan itu terdiri daripada tiga petugas iaitu penolong pegawai kesihatan persekitaran, pembantu kesihatan awam dan pemandu.

“Selain itu, seramai 416 petugas lagi akan memberikan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan, rawatan dan rujukan jika berlaku sebarang kejadian kecemasan di PPS.

“Mereka terdiri daripada pegawai perubatan, pembantu pegawai perubatan, jururawat terlatih, jururawat masyarakat dan pemandu yang sentiasa bersiap sedia apabila diarahkan dan apabila mengetahui ada PPS yang diaktifkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program ‘Major Incidence Response Exercise’ (MIREX) peringkat kebangsaan 2024, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, perkhidmatan diberikan mesti secara cepat, cekap, teratur dan berkesan dengan memberi keutamaan kepada perkhidmatan yang berkualiti melalui konsep penilaian risiko.

Katanya, semua petugas itu akan cuba memastikan semua mangsa banjir berada dalam keadaan yang sihat dan bebas daripada penyakit berjangkit yang berkaitan dengan banjir.

“Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu akan memastikan kesiapsiagaan menghadapi banjir di semua daerah dilakukan dengan teliti dan menyeluruh.

“Walaupun kes Covid-19 di Terengganu telah menunjukkan trend penurunan ketara dan sekarang kita berada di dalam fasa hidup bersama Covid-19, tetapi langkah-langkah pencegahan mestilah sentiasa dititikberatkan bagi membendung penularan Covid-19 di PPS.

“Mangsa-mangsa banjir positif Covid-19 dan mereka yang bergejala respiratori digalakkan untuk sentiasa memakai pelitup muka terutama di kawasan banjir atau di PPS yang sesak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya