Isu tabu adalah pengetahuan am, orang perlu tahu – Farah Ahmad - Utusan Malaysia

Isu tabu adalah pengetahuan am, orang perlu tahu – Farah Ahmad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOPIK sensitif melibatkan seksualiti, bentuk tubuh dan perihal dalaman wanita atau kaum lelaki menjadi ‘tabu’ dalam kalangan masyarakat sejak zaman dahulu lagi.

Namun, ada sahaja pihak yang berani bercakap mengenai isu tabu ini. Cuma, angkanya tidak ramai dan bukan semua berpengetahuan untuk menyentuh isu-isu tersebut.

Seperti pelakon Farah Ahmad, dirinya sendiri terkenal dalam membahaskan isu-isu tabu menerusi platform media sosial. Malah, cara penyampaiannya juga jelas dan boleh diterima ramai pihak.
Farah berpendapat, isu sensitif atau dianggap tabu wajar diberikan kesedaran kepada umum menerusi karya-karya tempatan.

Selain itu, isu sensitif terutamanya melibatkan seks, dalaman wanita dan sebagainya itu perlu sesekali disentuh untuk dijadikan pengajaran atau ilmu pengetahuan asas kepada masyarakat.

“Karya yang mengetengahkan isu tabu ini bagus sekiranya mesej yang ingin disampaikan itu menekankan betapa pentingnya cara penjagaan bahagian tubuh lebih-lebih lagi melibatkan kesihatan.

“Cuma, topik, dialog dan perkataan yang digunakan di dalam skrip juga perlu menghormati lebih-lebih lagi jika isu yang diketengahkan itu melibatkan kaum wanita,” katanya.

Tambah Farah, naskhah yang mahu menekankan isu panas tersebut perlu berhati-hati menggunakan perkataan yang sesuai di dalam skrip supaya tidak kedengaran kasar.

“Kadang-kadang, perkataan dalam bahasa Melayu juga ada masa dia kedengaran kasar. Walhal perkataan itu ada sahaja dalam kamus, tapi bila guna dalam perbualan harian ia dianggap kasar.

“Semua itu bergantung kepada cara pemikiran individu itu sendiri sebab pemikiran manusia kebanyakannya sudah ‘dikuningkan’. Lama-lama perkataan itu juga hilang begitu sahaja,” jelasnya.

 

PERLU ATAU TIDAK?
Meskipun terbuka mengulas isu tersebut, Farah tidak menafikan tindakan berani matinya itu kadang-kala meraih hentaman daripada beberapa pihak yang kurang senang mendengar topik yang dikupaskan.

Maka, Farah turut menyifatkan masyarakat perlu lebih terbuka untuk mengambil tahu mengenai isu tersebut memandangkan ia berkait rapat dengan ilmu sains bahkan, sudah tertulis di dalam al-Quran.

“Benda itu adalah pengetahuan am yang orang perlu tahu. Perkara itu juga adalah informasi. Kalau orang nak marah, itu ilmu pengetahuan am yang sudah diajar sejak sekolah lagi. Saya hanya menyampaikan informasi sahaja.

“Isu-isu panas yang ditabukan ini, pada saya tidak adil jika tidak diketengahkan kerana ada sahaja individu yang masih tidak mempunyai pengetahuan tentang perkara itu.

“Apa sahaja perkara yang berlaku dalam hidup ini melibatkan sains dan matematik. Dalam al-Quran pun ada tertulis cuma terserah kepada kita sahaja untuk cuba fahamkannya,” katanya.

Farah yang sedia lantang mengulas isu tersebut bagaimanapun tidak peduli sekiranya pendapatnya itu menerima tentangan daripada beberapa pihak.

Bahkan, dia tidak segan untuk terus memainkan peranannya sebagai pelakon dan ‘public figure’ untuk menyebarkan kesedaran dan pengetahuan kepada masyarakat.

“Saya tidak kisah sekiranya perkara ini menjadi kontroversi. Saya dah tidak risau sebab dugaan yang Tuhan bagi kepada saya lebih besar. Mereka ada hak untuk bercakap,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya