Isu PJJ masih belenggu guru

Isu PJJ masih belenggu guru

MOHD. AZIZEE HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Isu penempatan guru berjauhan terutama pasangan suami isteri dilihat masih belum menemui jalan penyelesaian apabila ia terus membelenggu emosi dan kehidupan peribadi mereka.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd. Azizee Hassan berkata, masalah itu boleh memberi kesan mendalam terhadap kesejahteraan mental guru terutama bagi yang terpaksa berhadapan dengan situasi ‘duka lara.’

Menurut beliau, kesan langsung daripada situasi itu termasuk gangguan keseimbangan hidup yang boleh mempe­ngaruhi produktiviti mereka di sekolah serta mengundang masalah kesihatan mental.

“Bagi pasangan guru yang berpisah jauh dalam tempoh yang lama atau menghadapi masalah kesihatan, kesan yang dihadapi bukan sahaja melibatkan guru dan keluarga mereka tetapi turut memberi impak negatif kepada anak-anak didik serta suasana persekolahan.

“Masa yang dihabiskan untuk berulang-alik, kos perbelanjaan yang meningkat serta kekura­ngan masa bersama keluarga memberikan tekanan emosi yang mendalam kepada guru-guru berkenaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Media sebelum ini melaporkan pengaruh media sosial berhasil membantu rayuan seorang guru sekolah di Sarawak, yang rayuannya untuk dipindahkan bagi menjaga isterinya yang sakit telah berulang kali dinafikan oleh pihak atasannya di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Selepas kisahnya tular di media sosial, nasib guru yang ha­nya dikenali sebagai Cikgu Din itu akhirnya sampai ke pengetahuan pengurusan tertinggi kementerian.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan memaklumkan, mereka telah mengambil langkah untuk membantu Cikgu Din termasuk memberinya jumlah cuti yang tidak didedahkan supaya dia dapat bersama isterinya yang menghidap kanser di Semenanjung.

Katanya, KPM prihatin me­ngenai situasi seorang guru yang sedang diuji dengan masalah kesihatan isterinya seperti yang sedang tular di media sosial.

“Tindakan segera untuk memberi bantuan sedang diambil. Guru berkenaan telah diberikan cuti untuk berada bersama-sama dengan isterinya.

“Satu pertemuan dengan beliau akan diadakan dalam waktu terdekat bagi membincangkan mengenai kebajikannya dan perkara-perkara lain yang berbangkit,” kata kenyataan itu.

Azizee berkata, KPM perlu mengambil inisiatif membantu guru-guru terlibat seperti me­ngadakan ujian saringan kesejahteraan mental guru, mengurangkan beban tugas guru serta membenarkan permohonan eGTukar (kurang daripada 36 bulan perkhidmatan).

Walau bagaimanapun, KPM perlu memperbaiki lagi pro­ses pertukaran ini terutama dalam kes-kes tertentu, dengan mengambil kira faktor prosedur, kelayakan, kekosongan dan keperluan yang mendesak.

“KPM perlu mewujudkan sistem pangkalan data khusus untuk guru-guru terlibat dalam situasi ‘duka lara’ dan mengambil kira keperluan pilihan selain daripada kekosongan untuk memudahkan proses pertukaran.

“Proses pengisian permohonan eGTukar perlu dipermudahkan dengan pertukaran dibenarkan empat kali setahun bagi memastikan kelancaran dan kesaksamaan dalam proses tersebut,” jelasnya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Ibu Bapa Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hasan berkata, pihak berkaitan seperti PIBG, Persa­tuan Murid Tua dan Kesatuan Guru perlu memainkan peranan menyuarakan isu ini kepada saluran yang betul agar masalah ini dapat diselesaikan segera.

“Bagi kes tertentu, seperti guru yang alami penyakit kritikal atau warga emas, penge­cualian syarat pertukaran harus dipertimbangkan” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya