Isu parkir HRPB: Saman dikeluarkan jika kenderaan halang laluan - Utusan Malaysia

Isu parkir HRPB: Saman dikeluarkan jika kenderaan halang laluan

KEADAAN kenderaan pelawat Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) yang diparkir di tepi jalan di Jalan Raja Ashman Shah di Ipoh. - UTUSAN/ LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Saman tetap akan dikeluarkan terhadap pemilik kenderaan yang meletakan kenderaan di luar pekarangan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), terutama di Jalan Raja Ashman Shah di sini jika kenderaan mereka menghalang laluan.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri, A Sivanesan berkata, saman akan dikeluarkan jika kenderaan yang diparkir di situ menghalang laluan bas atau kenderaan lain.

Menurutnya, terdapat tiga kawasan yang tidak dibenarkan untuk meletakkan kenderaan iaitu berhampiran perhentian bas, susur masuk dan keluar hospital dan Bulatan Sultan Iskandar di sini.

“Lebih kurang 30 hingga 40 kenderaan yang boleh diparkir di sekitar hospital ini yang tidak akan menghalang laluan kenderaan lain.

“Polis akan bertolak ansur jika kenderaan yang diparkir di jalan tersebut tidak menghalang laluan kenderaan lain,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita semasa meninjau isu parkir di pekarangan HRPB di sini hari ini.

Menurutnya, setakat ini, jumlah keseluruhan parkir di HRPB adalah 1,310 dan 624 daripadanya untuk kakitangan, 640 parkir untuk orang awam dan 16 parkir untuk ambulans.

Menurut Sivanesan, perancangan pembinaan parkir bertingkat masih belum boleh diteruskan kerana belum mendapat maklum balas daripada syarikat berkenaan.

“Hanya ada satu syarikat yang menghantar kertas cadangan iaitu syarikat dari China. Jika ada syarikat tempatan yang berminat untuk memberi kertas cadangan amat digalakkan.

“Kerajaan negeri tidak ada masalah untuk meluluskan projek berkenaan,” katanya.

Sivanesan berkata, orang ramai sama ada pesakit atau pelawat yang ingin ke hospital boleh meletakkan kenderaan di Velodrome Rakyat yang terletak di Kompleks Sukan Ipoh.

“Parkir tersebut dibuka setiap hari dari jam 7.30 pagi sehingga 7.30 petang dan orang ramai boleh menggunakan perkhidmatan van perantaraan atau shuttle van dengan kekerapan perjalanan setiap 30 minit,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya