Isu buli: KKM tunggu siasatan pasukan petugas khas 

Isu buli: KKM tunggu siasatan pasukan petugas khas 

LUKANISMAN Awang Sauni (duduk-kiri) menjalani pemeriksaan mata sempena Sambutan Hari Penglihatan Sedunia peringkat Kebangsaan, di ITCC Penampang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Tindakan tegas akan diambil sekiranya terbukti berlaku kes buli dalam kalangan petugas kesihatan di Hospital Lahad Datu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, jika berlaku ketidakteraturan atau isu buli dalam kalangan kakitangan kesihatan, sudah pasti tindakan akan diambil.

“Ini menunjukkan betapa seriusnya Kementerian Kesihatan melihat isu (buli) ini dan ia bagi memastikan isu-isu sebegini tidak berulang di fasiliti-fasiliti lain. Kita mahu hentikan isu buli. Itu sebabnya kita perlu melihat tahap kesihatan mental dalam kalangan petugas kesihatan.

“Siasatan telah bermula (hari ini) jadi saya tidak dapat memberitahu hasil siasatan secara terperinci sebab siasatan masih berjalan. 

“Pasukan petugas khas mungkin akan mengadakan siasatan secara bersemuka atau melawat Hospital Lahad Datu,” katanya selepas merasmikan sambutan Hari Penglihatan Sedunia peringkat Kebangsaan, di ITCC Penampang hari ini.

Beliau berkata, hasil dapatan  siasatan itu nanti akan digunakan bagi merangka dasar-dasar berkaitan dengan kesihatan mental dalam kalangan petugas kesihatan dan juga dalam isu-isu berkaitan tekanan serta beban kerja di fasiliti kesihatan.

Katanya, pihak kementerian juga menunggu hasil siasatan tersebut jadi, beliau berharap pihak keluarga pakar perubatan patologi yang terlibat  bersabar bagi menunggu keputusan yang akan diperoleh oleh pasukan petugas khas yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Borhan Dolah.

Pada 29 Ogos lalu, seorang pakar perubatan patologi di Hospital Lahad Datu ditemukan mati di kediamannya dipercayai mempunyai kaitan dengan insiden buli di tempat kerja.

Mengulas lanjut katanya, kementeriannya akan memberi fokus bagi meningkatkan akses perkhidmatan mata di Sabah dan Sarawak pada tahun depan kerana tahap kesihatan mata dalam kalangan masyarakat di luar bandar sangat terhad.

Jika dilihat kos pembedahan katarak boleh mencapai RM2,000 namun, pesakit yang dirawat di hospital awam di bawah Kementerian Kesihatan hanya perlu membayar RM103 bagi kos pembedahan dan kos rawatan harian, selebihnya disubsidi oleh kerajaan.

Pada masa ini, terdapat 24 pegawai optometri dan tiga pakar mata yang bertugas di hospital-hospital besar di Sabah termasuklah di Hospital Queen Elizabeth dan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) di Likas.

Oleh itu, pada tahun depan, kementerian merancang untuk memperluaskan perkhidmatan pakar mata ke Hospital Lahad Datu namun, ia bergantung kepada sumber tenaga kerja yang ada. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya