Isu beras putih boleh selesai - Utusan Malaysia

Isu beras putih boleh selesai

ISU ketiadaan beras putih tempatan dan harga beras import melambung tinggi menyebabkan kehidupan rakyat bertambah susah berikutan kenaikan kos sara hidup.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Masalah kehilangan Beras Putih Tempatan (BPT) yang melanda negara dapat diselesaikan dengan wujudnya pengasingan dan penggabungan penguat kuasa dalam sektor padi dan beras.

Pensyarah Jabatan Perniagaantani dan Ekonomi Biosumber, Fakulti Agrikultur, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Norsida Man berkata, pengasingan kuasa yang membabitkan tiga sektor padi dan beras itu merupakan langkah terbaik kerajaan dalam menyelesaikan masalah ketirisan dan kehilangan melibatkan makanan ruji itu.

Katanya, tadbir urus melibatkan Bahagian Pembangunan Industri Padi (PIP), Kawalselia Padi Beras (KPB) serta wakil kerajaan dalam PadiBeras Nasional (BERNAS) akan lebih telus dan gerak kerja yang lebih bagus.

“Saya lihat masalah kehilangan BPT akan dapat diatasi jika gerak kerja, penambahan pegawai, keterbukaan dan ketelusan ditambah dan diamalkan dalam pengasingan itu nanti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Sebelum ini, akhbar ini melaporkan pengasingan kuasa, penggabungan penguat kuasa dan peraturan baharu antara agenda reformasi dirangka kerajaan untuk sektor padi dan beras negara.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata, langkah pertama agenda itu adalah pemantapan tatakelola iaitu pengasingan kuasa yang akan dilaksanakan segera.

Langkah lain, katanya, adalah pelaksanaan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam melalui kajian penggabungan semua penguat kuasa dari tujuh agensi.

Tujuh agensi yang terlibat merupakan Kawalselia Padi dan Beras (KPB); Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS); Jabatan Pertanian Malaysia (DOA); Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS); Jabatan Perikanan Malaysia (DOF); Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Dalam pada itu, mengulas mengenai penggabungan tujuan agensi di bawah KPKM, Pakar Keterjaminan Makanan Prof. Datuk Dr. M. Nasir Shamsudin berkata, ia merupakan satu langkah bijak dalam memperkemaskan operasi untuk perkhidmatan yang lebih cekap dalam isu keterjaminan makanan.

“Isu penggabungan beberapa agensi kerajaan boleh memberi pelbagai faedah, terutamanya dari segi kecekapan, penjimatan kos dan penyampaian perkhidmatan yang lebih baik.

“Apabila agensi dengan fungsi bertindih bergabung, ia menghapuskan peranan pendua, program dan proses pentadbiran. Ini boleh membawa kepada penjimatan belanjawan yang ketara dengan memperkemas operasi,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya