Isu bendera China: MB Perak minta kenyataan tidak disalah erti - Utusan Malaysia

Isu bendera China: MB Perak minta kenyataan tidak disalah erti

SAARANI MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad meminta agar kenyataannya berhubung perbuatan sekumpulan individu mengibarkan bendera negara China dalam satu acara di Teluk Intan, malam kelmarin, tidak disalah erti.

Menurutnya, pendirian Kerajaan Perak adalah jelas bahawa sebarang kegiatan dalam mana-mana penganjuran atau perhimpunan adalah tidak menjadi kesalahan selagi ia memenuhi dan mengikuti peraturan serta undang-undang sedia ada.

“Perbuatan yang menjadi kesalahan adalah jika ada mana-mana warga negara Malaysia mengibarkan bendera asing kerana ia adalah tindakan yang dilihat mengagung-agungkan negara lain,” katanya.

Pada masa sama, jelasnya, tindakan warga asing mengibarkan bendera kebangsaan masing-masing di luar negara bukan sesuatu yang janggal, malah perbuatan tersebut biasa dilihat dalam banyak perhimpunan di luar negara termasuk dalam temasya sukan.

Bagaimanapun, tambah beliau, perbuatan sedemikian tetap tertakluk kepada peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh pihak berkuasa sesebuah negara itu.

Justeru, Saarani berkata, apa yang dijelaskan dalam sidang akhbarnya semalam ialah beliau sendiri mengesyorkan agar kes tersebut disiasat oleh pihak berkuasa sama ada ia melibatkan warga asing atau sebaliknya.

“Dalam konteks kejadian di Teluk Intan, pihak polis sedang melakukan siasatan terhadap kumpulan berkenaan mengikut saluran undang-undang termasuk Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949,’’ ujarnya.

Saarani meminta semua pihak memberi sepenuh kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan dan mengambil tindakan tegas jika ada berlaku pelanggaran terhadap peraturan atau undang-undang sedia ada.

Semalam, kenyataannya bahawa tidak salah warga asing mengibarkan negara masing-masing di negara ini, mendapat kritikan ramai khususnya warga maya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN